TURUN PADANG : PROJEK JALAN SARAWAK-SABAH DIPERKASA SELARAS MALAYSIA MADANI
SARAWAK - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, telah turun padang ke tapak Projek Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 untuk melihat sendiri perkembangan kerja pembinaan di lapangan. Lawatan ini bertujuan memahami cabaran yang dihadapi serta berbincang langkah penambahbaikan bersama agensi berkaitan dan pihak kontraktor. Lawatan ini turut disertai YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pengurusan) KKR. Pendekatan turun padang ini menunjukkan kesungguhan kepimpinan KKR dalam memastikan projek berjalan dengan baik dan teratur.
Projek SSLR Fasa 2 ialah projek penting kerajaan untuk menghubungkan Sarawak dan Sabah dengan lebih lancar, khususnya bagi memudahkan perjalanan ke kawasan pedalaman. Projek ini melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang kira-kira 336 kilometer, termasuk jambatan dan laluan bertingkat, dan dilaksanakan secara berperingkat melalui empat bahagian utama. Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh lima tahun, bermula Jun 2024 hingga Jun 2029.
Setakat 25 Januari 2026, kerja pembinaan diteruskan secara berperingkat dan dipantau secara berterusan. Proses pengambilan tanah pula hampir siap sepenuhnya, menunjukkan kerjasama yang baik antara kerajaan, kontraktor dan penduduk setempat, terutamanya di kawasan Pakej 4 yang memerlukan perhatian lebih rapi.
Bagi memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna jalan raya, satu cadangan pembinaan terowong di Pakej 4 telah dikemukakan. Terowong sepanjang kira-kira 2.2 kilometer ini membolehkan jarak perjalanan dipendekkan dengan ketara, daripada lebih 22 kilometer kepada sekitar 7 kilometer sahaja. Ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan daripada kira-kira 27 minit kepada hanya 8 minit, malah meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dengan mengurangkan laluan berisiko di kawasan cerun curam.
Secara keseluruhan, Projek SSLR Fasa 2 dilaksanakan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan infrastruktur yang mampan, inklusif dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Sarawak dan Sabah melalui perjalanan yang lebih selamat, mudah dan efisien, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat
- Log in to post comments