TURUN PADANG KSU KKR KE LINGKARAN TENGAH UTAMA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

TURUN PADANG KSU KKR KE LINGKARAN TENGAH UTAMA

PAHANG  – Dalam memastikan kemajuan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) kekal di landasan yang ditetapkan, YBhg. Dato’ Seri Dato’ Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) telah turun padang meninjau sendiri status pelaksanaan projek LTU. Pendekatan proaktif ini adalah untuk memastikan pelaksanaan projek dipantau secara rapi, isu dapat dikenal pasti lebih awal serta tindakan penyelesaian dapat diambil dengan segera.

Turut serta, YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pengurusan) KKR, YBrs. Ir. Shahrom bin Saman, Timbalan Ketua Pengarah (Infra) JKR Malaysia, YBrs. Puan Atikah binti Zakaria@Ya, Pengarah Cawangan Jalan JKR Malaysia serta pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan dan negeri yang terlibat.

Kemajuan fizikal bagi keseluruhan pakej pembinaan di Negeri Pahang adalah sebanyak 94.49% berbanding 95.01% yang dirancang. Manakala bagi Projek Sertik ke Persimpangan LPT yang dilawati, kemajuan fizikal adalah 59.81% berbanding 64.51% yang dirancang.

Apabila siap kelak, laluan ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna jalan raya dengan perjalanan yang lebih cepat, selamat dan selesa antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

Antara manfaat utama:

  • Kurangkan kesesakan jalan sedia ada
  • Jimat masa perjalanan (7 jam → 4.5 jam)
  • Tingkatkan keselamatan pengguna
  • Rancakkan ekonomi setempat

Beberapa seksyen masih dalam pembinaan seperti Seksyen 3J, 4B dan 6 bagi memastikan keseluruhan jajaran dapat disambungkan dengan sempurna sebelum dibuka sepenuhnya kepada pengguna.

Pendekatan ini merupakan inisiatif KKR bagi memastikan bilangan pakej kerja yang lewat serta ‘projek sakit’ dapat diminimumkan, selaras dengan komitmen KKR dalam memastikan penyampaian projek yang berkualiti tinggi kepada rakyat.

Dalam masa sama, YBhg. Dato’ Seri turut memberi teguran tegas kepada pihak kontraktor agar meningkatkan komitmen serta memastikan setiap pelaksanaan kerja dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan tanpa kompromi.

KKR turut merakamkan penghargaan kepada Unit Projek Khas ECER2, JKR Malaysia atas komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab pemantauan projek secara menyeluruh bagi memastikan kelancaran pelaksanaan di lapangan.

Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang cekap, berkualiti dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0
0
0