TURUN PADANG KE TAPAK CADANGAN NAIK TARAF JAMBATAN DAN PERSIMPANGAN PARIT SEMERAH, PONTIAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

TURUN PADANG KE TAPAK CADANGAN NAIK TARAF JAMBATAN DAN PERSIMPANGAN PARIT SEMERAH, PONTIAN

PONTIAN – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah turun padang meninjau keadaan tapak cadangan projek menggantikan Jambatan Parit Semerah di Jalan Persekutuan FT005, Pontian, Johor. Turut serta ialah Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya; Yang Berbahagia Dato’ Sri Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya; serta Yang Berhormat  Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.

Cadangan projek ini dibuat bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di kawasan persimpangan utama yang menghubungkan laluan Johor Bahru dan Melaka. Kawasan ini sering mengalami kesesakan terutama pada waktu sibuk, selain berdepan risiko kemalangan disebabkan keadaan jalan yang sempit dan trafik yang padat.

Kerja-kerja pelebaran jambatan dicadangkan kerana keadaan jalan sedia ada yang sempit serta kewujudan lorong yang mengganggu kelancaran trafik, terutamanya di laluan dari Pontian Besar ke Pontian Kecil. Keadaan ini sering menyebabkan kesesakan dan meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, Jalan Parit Semerah J112 dicadangkan untuk dilebarkan dengan penyediaan laluan khas bagi memudahkan kenderaan memperlahan dan menambah kelajuan, sekali gus membantu pergerakan kenderaan berat seperti lori ketika membelok, supaya aliran trafik menjadi lebih lancar dan selamat.

KKR melalui JKR komited untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan projek ini dilaksanakan dengan teliti, teratur dan mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan demi kesejahteraan pengguna jalan raya.

Secara keseluruhannya, projek ini dijangka memberi impak positif kepada penduduk setempat melalui infrastruktur yang lebih selamat, lancar dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berfokuskan rakyat serta kemajuan negara secara inklusif.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0