TINJAUAN TAPAK PROJEK JALAN, JAMBATAN DAN KEMUDAHAN PERNIAGAAN OLEH YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA
ALOR SETAR - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, meneruskan agenda turun padang pada sebelah petang dengan melawat tapak Projek Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu - Titi Gajah, Daerah Kota Setar ke Titi Besi, Daerah Kubang Pasu, hari ini. Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur rakyat berjalan mengikut jadual serta menepati spesifikasi yang ditetapkan.
Dalam lawatan itu, YB Timbalan Menteri diberi taklimat ringkas oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah berhubung perkembangan semasa projek berkenaan, termasuk status kemajuan fizikal dan cabaran yang dihadapi di peringkat pelaksanaan. Beliau turut menekankan kepentingan pemantauan rapi agar setiap projek yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi negeri Kedah.
Selesai lawatan pertama, YB Datuk Seri Ahmad Maslan meneruskan tinjauan ke tapak Projek Cadangan Membina dan Menyiapkan Kemudahan Perniagaan KEDA (PKPK) Daerah Kota Setar. Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi setempat melalui penyediaan ruang perniagaan yang lebih tersusun dan selesa kepada usahawan kecil serta perusahaan mikro tempatan.
Selesai kedua-dua lawatan tersebut, beliau turut meluangkan masa hadir menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu (Tertutup) JKR Kedah 2025 yang mempertemukan pasukan JKR Daerah Sik menentang JKR Daerah Kota Setar. Dalam perlawanan yang berlangsung penuh semangat itu, pasukan JKR Daerah Kota Setar berjaya menewaskan JKR Daerah Sik sekali gus dinobatkan sebagai juara edisi 2025, dengan YB Timbalan Menteri menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
- Log in to post comments