TINJAUAN MESRA MENTERI KERJA RAYA KE PAKEJ KERJA 05 (WP05) LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH: PEMANTAUAN ISU SUATU KEUTAMAAN DEMI KESELESAAN PENGGUNA
PAPAR - Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah turun padang mengadakan tinjauan mesra ke lokasi Pakej Kerja 05 (WP05: Papar ke Donggongon) bagi melihat sendiri keadaan semasa laluan berkenaan serta meneliti aduan yang diterima daripada pengguna jalan raya.
Meskipun jajaran sepanjang 11.7 kilometer ini telah siap sepenuhnya dan beroperasi, pihak Kementerian mengambil maklum beberapa isu semasa di lokasi. Perkara ini merangkumi kesesakan trafik di titi pertemuan atau bottleneck akibat penumpuan kenderaan di penghujung jajaran WP05 apabila memasuki pakej kerja bersebelahan yang masih dalam pembinaan. Di samping itu, kementerian turut memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan akses tempatan seperti keperluan penambahbaikan pencahayaan jalan, papan tanda keselamatan, serta kemudahan persimpangan untuk penduduk sekitar.
Bagi mengatasi isu-isu berkenaan, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan pihak kontraktor telah merangka langkah penyelesaian segera secara menyeluruh. Pelaksanaan Pengurusan Trafik Penyambung (Traffic Management Plan) akan diperkemaskan melalui penyelarasan zon penyambung dan susun atur lorong di persempadanan pakej pembinaan bersebelahan bagi meminimumkan kesesakan waktu puncak.
Selain itu, elemen keselamatan di sepanjang jajaran akan ditingkatkan melalui penambahbaikan penandaan jalan, lampu jalan, dan papan tanda amaran di lokasi kritikal demi keselamatan pemandu pada waktu malam. Pada masa yang sama, pemantauan kualiti dan penyelenggaraan berterusan akan dijalankan secara berkala ke atas permukaan jalan serta sistem perparitan agar kekal berada pada tahap optimum.
Kementerian Kerja Raya kekal komited dalam memastikan keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah disiapkan mengikut standard tinggi demi kesejahteraan sosioekonomi rakyat Sabah.
- Log in to post comments