Tinjauan Kerosakan Fasiliti Jalan Akibat Banjir Di Kuantan, Jerantut Dan Lipis Oleh Timbalan Menteri Kerja Raya
Tinjauan Kerosakan Fasiliti Jalan Akibat Banjir Di Kuantan, Jerantut Dan Lipis Oleh Timbalan Menteri Kerja Raya
JERANTUT, PAHANG, 30 DISEMBER 2021 – Susulan banjir yang melanda negeri Pahang, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia telah meninjau keadaan kerosakan Jalan dan Cerun di Kuantan, Jerantut dan Lipis, Pahang selama dua hari.
Lokasi pertama tinjauan ialah di FT231 Jalan Sungai Lembing yang berlaku kejadian sinkhole di jalan tuju Jambatan akibat hakisan aliran air hujan yang berlebihan. Kerja-kerja pembaikan sementara telah di laksanakan di lokasi dan kos pembaikan kekal dianggarkan sebanyak RM350 ribu.
Turut ditinjau ialah FT231 Jalan Sungai Lembing di Persimpangan Jalan Sungai Panching Utara. Lokasi ini merupakan lokasi banjir besar dan mengakibatkan laluan ke Pekan Sungai Lembing terputus dan tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan. Anggaran kos pembaikan adalah sebanyak RM850 ribu.
Tinjauan pada hari kedua dimulakan di FT 1524 Jalan Utama Kota Gelanggi - Lepar Utara, Jerantut yang rosak akibat daripada kegagalan cerun dan pembentung CMP dan tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan. Tindakan sementara oleh pihak JKR Daerah Jerantut ialah membina jalan sementara bagi kegunaan penduduk. Kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh pihak konsesi.
Lokasi kedua ialah di FT1508 Jalan Padang Piol - Sungai Retang (Paya Garok) yang merupakan laluan utama ke Kuala Tanah dan Taman Negara. Di lokasi ini YB Timbalan Menteri Kerja Raya telah diberi penerangan berkenaan permohonan untuk menaikan aras jalan bagi mengatasi masalah banjir yang telah diangkat di dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) untuk kelulusan. Turut ditinjau ialah jalan FT64 laluan Jerantut – Benta yang berlaku kejadian cerun runtuh akibat bencana banjir.
Lokasi terakhir yang ditinjau ialah lokasi kejadian cerun runtuh FT08 Jalan Bentong - Gua Musang berhampiran Kolej Vokasional Sultan Hj Ahmad Shah(SHAS), Lipis dimana satu lorong bersebelahan Sungai Lipis (arah Raub) telah runtuh kesan daripada kejadian banjir. Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, Pihak JKR Daerah Lipis hanya membuka satu laluan untuk kegunaan pengguna jalan raya. Kerja – kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh pihak konsesi.
Pelbagai pihak turut serta meninjau lokasi bencana bagi mendapatkan pandangan teknikal dan suara rakyat. Antara yang turut serta ialah YB Dato' Indera Mohd Shahar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan, YBhg Datuk Ir. Hj. Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg Dato' Ir Hafizah Bte Zakaria, Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, Jurutera - jurutera Daerah serta Pihak konsesi Jalan Persekutuan dan Cerun.
- Log in to post comments