TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA TINJAU OPERASI DAN PELAKSANAAN PROJEK DI DAERAH MANJUNG
MANJUNG – Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jurutera Daerah Manjung bagi meninjau operasi jabatan, perkembangan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan Jabatan Kerja Raya (JKR) di daerah berkenaan.
Dalam kesempatan ini, YBhg. Datuk Seri Dr. Ahmad turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa insiden pokok tumbang di Janda Baik, Pahang.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden pokok tumbang di Janda Baik. Saya mendoakan agar roh mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, manakala keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, anggota keselamatan, pasukan penyelamat dan pihak berkaitan yang telah bertindak pantas dalam menguruskan insiden serta membantu mangsa dan keluarga yang terjejas.
“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Saya berharap semua pihak terus meningkatkan pemantauan terhadap kawasan yang dikenal pasti berisiko, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu, bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama ini daripada berulang.”
Lawatan kerja ini turut memberi peluang kepada Timbalan Menteri untuk mendapatkan taklimat berkaitan struktur organisasi, fungsi bahagian serta perkembangan projek-projek infrastruktur yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah Manjung.
Dalam sesi taklimat di Bilik Mesyuarat Utama, beliau turut diberikan pembentangan berkaitan organisasi dan projek, selain mendapatkan gambaran mengenai isu serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan projek dan penyelenggaraan infrastruktur.
Timbalan Menteri kemudiannya meninjau beberapa bahagian utama di Pejabat Jurutera Daerah Manjung, termasuk Bahagian Jalan, Pentadbiran dan Bangunan, bagi melihat dengan lebih dekat operasi serta keperluan semasa jabatan.
Beliau menegaskan kepentingan pemantauan berterusan dan kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR Negeri Perak dan JKR Daerah bagi memastikan setiap projek serta kerja penyelenggaraan dilaksanakan mengikut spesifikasi, jadual dan peruntukan yang ditetapkan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen KKR untuk memastikan penyampaian perkhidmatan teknikal dan pelaksanaan pembangunan infrastruktur di peringkat daerah terus diperkasa, sekali gus memberikan manfaat yang optimum kepada rakyat.
Kementerian Kerja Raya akan terus memperkukuh pemantauan dan penyelarasan bersama JKR di semua peringkat bagi memastikan infrastruktur awam negara sentiasa berada pada tahap terbaik, selamat dan selesa untuk digunakan rakyat.
- Log in to post comments