TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA MERASMIKAN PERSIDANGAN PEGAWAI KANAN JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA (SOC 2026)
SEREMBAN – Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Negeri Sembilan.
SOC 2026 merupakan penganjuran edisi ke-24 dengan mengangkat tema “Memacu Reformasi Pintar JKR”, yang mencerminkan komitmen berterusan JKR dalam memperkukuh profesionalisme melalui pendekatan reformasi berteraskan integriti, inovasi dan kecekapan penyampaian. Inisiatif ini selari dengan arus pemodenan serta tanggungjawab yang dipikul oleh jabatan dalam memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi.
Tema yang dipilih turut menzahirkan kesungguhan JKR dalam mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan strategik, inovatif serta berasaskan teknologi dan pendigitalan, sejajar dengan keperluan semasa industri dan ekspektasi rakyat.
Persidangan SOC yang dianjurkan secara tahunan ini merupakan platform ilmiah dan medan pemerkasaan strategik yang menghimpunkan pemikiran kritis serta aspirasi pegawai kanan JKR dalam usaha memperkukuh kecekapan organisasi secara mampan dan holistik.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei 2026 ini menghimpunkan lebih 400 pegawai kanan JKR Malaysia, termasuk barisan pengurusan tertinggi jabatan, jurutera daerah serta pegawai kader dari seluruh negara.
Sepanjang persidangan, pelbagai pengisian telah dirangka, antaranya lima (5) sesi peluncuran utama iaitu:
a) Produk FlexRevive “Wrap It Right, Flex It Bright”;
b) Garis Panduan Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCS);
c) SAMAT: Sistem Aduan Mekanikal Atas Talian;
d) Aplikasi MySIDOS: Malaysia Site Investigation Data Online System; dan
e) Dokumen Teknikal Jalan.
Selain itu, persidangan ini turut menampilkan empat (4) pembentangan kertas teknikal serta tiga (3) sesi perkongsian daripada agensi luar bagi memperkaya perspektif dan amalan terbaik dalam industri.
Bersempena SOC 2026, Majlis Penyampaian Anugerah turut diadakan bagi menghargai kecemerlangan industri, termasuk penyampaian Anugerah Kontraktor Cemerlang JKR Malaysia.
Bagi memeriahkan lagi persidangan, penyertaan daripada syarikat dan penggiat industri turut membuka ruang kepada pameran teknologi terkini sepanjang program berlangsung. Inisiatif ini memberi peluang kepada pemain industri untuk berkongsi inovasi, memperkenalkan teknologi baharu serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama JKR.
- Log in to post comments