STATUS TERKINI KERJA-KERJA PEMBAIKAN RUNTUHAN JALAN DAN TEBING DI LALUAN T145, KUALA NERUS, TERENGGANU | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

STATUS TERKINI KERJA-KERJA PEMBAIKAN RUNTUHAN JALAN DAN TEBING DI LALUAN T145, KUALA NERUS, TERENGGANU

KUALA TERENGGANU - Yang Berhormat Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia telah turun padang meninjau perkembangan semasa kerja-kerja projek Negeri Terengganu memperbaiki runtuhan jalan dan tebing yang berlaku akibat kejadian Monsun Timur Laut di Laluan T145 Jalan Mengabang Telipot – Batu Rakit (Pantai), Seksyen 5.9 hingga 6.5 di daerah Kuala Nerus, Terengganu. Ini selari dengan pengumuman YAB Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM200 juta serta merta bagi mempercepat pelaksanaan kerja-kerja menangani hakisan pantai di Terengganu pada 12 Julai 2025.

Turut hadir bersama YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya. Projek pembaikan ini dilaksanakan oleh syarikat SR Tech Resources dengan tarikh milik tapak bermula pada 8 April 2025 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 7 Oktober 2025. Kerja-kerja ini bertujuan untuk memulihkan kemudahan jalan raya yang terjejas serta memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan kepada pengguna setempat.

Setakat 15 Jun 2025, kemajuan fizikal projek telah mencapai 45.37%, iaitu 18 hari lebih awal daripada jadual asal. Manakala kemajuan kewangan pula berada pada tahap RM3.03 juta daripada jumlah kos projek semasa sebanyak RM4.95 juta. Ini menunjukkan prestasi yang baik dari segi pelaksanaan kerja serta pengurusan kewangan.

Antara skop utama kerja melibatkan pembersihan runtuhan, kerja-kerja geoteknikal, pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, kerja-kerja tambakan pasir serta penstabilan struktur tanah. Semua kerja-kerja ini dijalankan secara teliti bagi memastikan ketahanan dan keselamatan jangka panjang infrastruktur tersebut.

KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) ingin memberi jaminan bahawa projek negeri ini akan terus dipantau rapi agar dapat disiapkan mengikut jadual, spesifikasi mutu dan kos. Penduduk sekitar dan pengguna jalan raya diminta untuk terus memberi kerjasama dan mematuhi sebarang arahan keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja. KKR amat menghargai atas kesabaran dan sokongan rakyat dalam memastikan kelangsungan kemudahan awam demi keselesaan dan keselamatan bersama.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0