SESI TAKLIMAT EKSEKUTIF KKR KEPADA SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR DAN SESI PENANDATANGANAN DEKLARASI DATA ASET JALAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

SESI TAKLIMAT EKSEKUTIF KKR KEPADA SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR DAN SESI PENANDATANGANAN DEKLARASI DATA ASET JALAN

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini mengadakan Sesi Penandatanganan Deklarasi Data Aset Jalan bersama Kerajaan Negeri Selangor sebagai langkah memperkukuh pengurusan data aset jalan negeri ke arah penyelenggaraan infrastruktur yang lebih cekap, bersepadu dan berkesan.

Deklarasi tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR dan YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Bilik Gerakan MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), KKR serta Encik Ahmad Harris Abdullah, Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Taklimat eksekutif berkaitan inisiatif Deklarasi Data Aset Jalan telah disampaikan oleh Cik Masdara Siregar Mohd Samsir, Timbalan Setiausaha Bahagian (A), Bahagian Dasar dan Antarabangsa, KKR.

Inisiatif ini merupakan antara program di bawah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) KKR yang diselaraskan melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), dengan matlamat untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan kualiti infrastruktur jalan demi kesejahteraan rakyat.

Selain itu, KKR turut berkongsi mengenai inisiatif National Traffic Information Management Centre (NITMC), yang merupakan salah satu teras utama di bawah Intelligent Transport System Blueprint 2030. 

Pembentangan mengenai inisiatif ini telah disampaikan oleh YBrs. Ir. Mohd Fairuz Muhamad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Jalan, KKR.

Integrasi data aset jalan dan data trafik ini akan menjadi asas penting dalam perancangan pembangunan jalan raya yang lebih holistik dan berpandangan jauh. 

Walaupun inisiatif ini masih di peringkat awal pelaksanaan, ia membuka ruang kepada kolaborasi strategik yang lebih kukuh bagi merealisasikan ekosistem infrastruktur jalan yang lebih pintar dan menyeluruh, merangkumi konsep First Mile hingga Last Mile.

Kerjasama erat antara KKR dan Kerajaan Negeri Selangor ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik serta pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5