Sambutan Tahun Kuda dikongsi Bersama Warga KKR
KUALA LUMPUR, 12 Februari - Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2014 peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. Ketibaan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof telah diiringi kumpulan tarian singa ke dalam dewan. Ucapan pembukaan majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ir. Tan Tiong Ben, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Majlis diteruskan dengan menggaul ‘Yee Sang’ oleh semua tetamu yang hadir dan ia merupakan makanan tradisional masyarakat Cina yang disediakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina sebagai lambang kesejahteraan dan panjang umur. Para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan kebudayaan kaum cina seperti tarian singa, tarian tradisional kaum cina dan permainan yoyo cina oleh pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Confucian, Kuala Lumpur.
Turut hadir bersama ialah YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR dan pegawai-pegawai atasan Kementerian serta Agensi-agensi.
- Log in to post comments