RM423 JUTA BAGI MENAIK TARAF JALAN PAN BORNEO SEPANJANG 2,230 KILOMETER
Sepitang, Sabah, 27 Februari – Kerajaan memperuntukkan RM 423 juta bagi menaik taraf Jalan Pan Borneo sepanjang 2,230 kilometer yang melibatkan laluan utama di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman bin Abu Mansor berkata, kerja menaik taraf jalan utama di Borneo ini akan bermula pertengahan tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya 2015. Berkata beliau lagi kepada pemberita, kerja-kerja ini akan dilakukan berperingkat di mana tahun ini sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menaik taraf jalan melibatkan RM50 juta di Sabah dan RM50 juta lagi di Sarawak.
YB. Menteri turut meninjau kerja-kerja menaiktaraf projek Jalan Sapulut – Kalabakan, Tawau, Sabah. Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kualiti Jalan Persekutuan di Sabah lebih rendah berbanding di Sarawak dan Semenanjung, sebagai di antara punca banyak jalan di negeri ini mudah rosak dan kurang sempurna.
Katanya lagi, kerosakan jalan di negeri ini bukan disebabkan kualiti pembinaan tidak memuaskan tetapi disebabkan oleh kenderaan berat yang lalu lalang di jalan tersebut serta pengubahsuaian lori untuk membawa muatan berlebihan adalah faktor jalan yang dibina mudah rosak.
- Log in to post comments