PROJEK PEMBINAAN LORONG TAMBAHAN LEBUHRAYA UTARA-SELATAN LALUAN SEDENAK - KULAI BERJALAN MENGIKUT JADUAL
SEDENAK, 16 JANUARI 2024 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia,YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Lembuhraya Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Sazali Harun, Pengarah Urusan PLUS, YBhg. Datuk Nik Airina Nik Jaffar, pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi telah turun padang bagi meninjau status kerja-kerja pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara - Selatan (LUS) laluan Sedenak - Kulai, Johor.
Kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak Julai 2024 didapati berjalan lancar mengikut jadual. Setakat 31 Disember 2024, peratus kemajuan projek adalah sebanyak 5.02 peratus. Kerja-kerja yang sedang giat dijalankan di lokasi adalah kerja-kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti dan pelan pengurusan trafik.
Selepas kerja-kerja tanah di laluan Sedenak - Kulai Arah Selatan ini selesai, kerja-kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi tersebut akan dimulakan secara berperingkat. Keseluruhan kerja pembinaan lorong tambahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027. Kos keseluruhan Fasa 1 ini adalah sebanyak RM515 juta di mana kos bagi jajaran ini (Sedenak - Kulai) ialah RM249 juta.
Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina Tahun 2025, semua kerja-kerja yang dijalankan di lokasi terbabit tidak akan melibatkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah lebuhraya dan tidak akan mengganggu aliran trafik sedia ada. YB Menteri turut mengarahkan pihak PLUS agar memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja-kerja di tapak pada musim perayaan nanti.
Secara keseluruhan, projek pembinaan lorong tambahan yang akan dilebarkan dari dua lorong ke tiga lorong ini dijalankan secara berfasa dari Fasa 1 hingga ke Fasa 3 iaitu dari Senai (Utara) ke Machap yang mana lokasi tinjauan hari ni adalah sebahagian daripada jajaran di bawah Fasa 1 : Senai (Utara) ke Sedenak.
Projek ini merupakan inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak Kerajaan bagi menangani kesesakan di LUS yang sering sesak pada waktu puncak, semasa cuti umum dan musim perayaan.
- Log in to post comments