Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT54 Dari Sungai Buloh Ke Assam Jawa, Selangor | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT54 Dari Sungai Buloh Ke Assam Jawa, Selangor

KUALA SELANGOR, SELANGOR, 10 OGOS 2020 – Pelebaran dan kerja-kerja naik taraf Jalan Persekutuan FT54 dari Sungai Buloh Ke Assam Jawa yang menghubungkan daerah Kuala Selangor dan beberapa daerah berhampiran pastinya dapat mengatasi kesesakan lalulintas dan meningkatkan tahap keselamatan pemanduan pengguna jalan raya dan penduduk sekitarnya. 

Selain itu, projek pelebaran jalan sepanjang 25 kilometer ini juga, secara tidak langsung akan memberi impak pertumbuhan ekonomi dan merancakkan pembangunan di kawasan sekitar khususnya di Pekan Ijok dan Kuala Selangor amnya.

Menerusi projek naik taraf laluan baharu ini, laluan yang asalnya berselekoh tajam sepanjang 2 kilometer telah diluruskan menjadi laluan yang mudah dilalui oleh pengguna jalan raya.  Tempoh masa perjalanan juga dapat dijimatkan iaitu sekitar 10 minit dari arah Pekan Ijok dan kawasan sekitarnya ke arah Sungai Buloh. 

Projek ini dilaksanakan secara Reka dan Bina, melibatkan naik taraf sedia ada daripada laluan dua (2) lorong dua (2) hala kepada empat (4) lorong, dua (2) hala (JKR R5) sepanjang 25 kilometer dengan 3.0 meter bahu jalan dan 1.6 meter median. Projek ini juga melibatkan kerja naik taraf lima (5) persimpangan sedia ada, dua (2) jejantas pejalan kaki beserta motorsikal dan dua (2) buah jambatan baharu. 

Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof hari ini hadir untuk meninjau dan memantau kemajuan projek di tapak pembinaan laluan ini. Projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) ini telah pun bermula pada 10 Ogos 2016 dan dijangka siap pada 30 April 2021. Status kemajuan projek ialah 98 peratus. Kos anggaran keseluruhan projek adalah sebanyak RM436 juta.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5