PROJEK 190 UNIT KEDIAMAN WARGA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA BERJALAN LANCAR UNTUK SIAP MENGIKUT JADUAL
KOTA SAMARAHAN, 27 Mac 2025 – Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya telah turun padang pada bagi meninjau pelaksanaan projek milik Kementerian Pertahanan Malaysia iaitu Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak. Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi menyiapkan projek pembinaan ini yang dilaksanakan secara Reka dan Bina.
Projek ini dibangunkan di atas kawasan seluas 28.3 ekar dengan kos kontrak bernilai RM116 juta. Skop projek kuarters kediaman ini merangkumi pembinaan 190 unit RKAT iaitu satu unit Banglo Kelas B2, tiga unit Banglo Kelas B1, tiga unit Banglo Kelas C4, sembilan unit Banglo Kelas C3, 30 unit Semi-D Kelas C2, 32 unit Apartment Kelas F dan 112 unit Apartment Kelas G. Turut dibina ialah kemudahan asas lain seperti surau, tadika dan taska, rumah sampah, rumah pam serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
Setakat 25 Mac 2025, projek pembinaan RKAT yang telah dimulakan pada 9 Mei 2023 ini telah mencapai status kemajuan projek sebanyak 50.05% iaitu tujuh hari mendahului jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026 seperti yang dijadualkan. Penggunaan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) yang diaplikasikan dalam projek ini membantu dalam memendekkan tempoh pembinaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja manual khususnya pekerja asing.
Hala Tuju Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025 menekankan pembangunan infrastruktur dilaksanakan menepati piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environment, social, governance, ESG) serta mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa yang telah ditetapkan ke arah SIFAR PROJEK SAKIT.
KKR berharap kontraktor dan kumpulan projek terus berusaha untuk mempertingkatkan momentum kerja serta mengekalkan kualiti dan rekod keselamatan di tapak pembinaan agar projek ini dapat disiapkan tepat atau lebih awal dari jadual yang ditetapkan.
- Log in to post comments