PROGRAM SPEAKER SERIES BIL. 6/2025 BERSAMA KSU KEMENTERIAN KERJA RAYA
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini telah menganjurkan Program KKR Speaker Series Bil. 6/2025, melibatkan sesi perjumpaan bersama Kumpulan Pelaksana Gred 1 – 8, yang dipimpin oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya. Program berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi di Bilik Tanjung, Aras 6, Blok A, Kompleks Kerja Raya.
Penganjuran program ini adalah selaras dengan saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN) agar Pengurusan Tertinggi mengadakan sesi libat urus secara berterusan dengan pegawai bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kefahaman terhadap hala tuju jabatan dan mempererat hubungan kerja.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Dato’ Seri KSU telah berkongsi pengalaman beliau sepanjang perkhidmatan serta menyampaikan inspirasi berdasarkan topik “Jack Ma’s 10 Rules for Success”, yang menekankan nilai kecekalan, inovasi, dan semangat kerja berpasukan.
Program ini telah dihadiri oleh seramai 130 orang peserta daripada Kumpulan Pelaksana KKR, bersama kehadiran YBrs. Puan Anaresa binti Muhammad Dain, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
YBhg. Dato’ Seri KSU turut meluangkan masa menyantuni para peserta melalui sesi soal jawab terbuka, yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pegawai untuk mengemukakan pandangan, pertanyaan serta cadangan penambahbaikan berkaitan bidang tugas masing-masing.
Program ini diharap dapat memberi hala tuju yang jelas, memperkukuh motivasi dan menyuntik semangat baharu kepada warga KKR, khususnya Kumpulan Pelaksana Gred 1 – 8, dalam melaksanakan amanah perkhidmatan kepada rakyat dan negara.
- Log in to post comments