PROGRAM MENINGKATKAN INFRASTRUKTUR KESELAMATAN DAN KESELESAAN PENGGUNA JALAN PERSEKUTUAN
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN - YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya ini telah merasmikan 3 program iaitu Majlis Penyerahan Perakuan Siap Kerja (CPC) dan Peruntukan Bagi Program Blackspot, Lintasan Pejalan Kaki Searas Lampu Isyarat (LPKSI) dan Arahan Kerja (AK) serta Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Jalan Persekutuan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan sebanyak RM2.446 bilion bagi Program Penyenggaraan Jalan Persekutuan pada tahun 2025. Sehingga September 2025, sebanyak RM1.324 billion telah dibelanjakan di bawah Program Berkala Pavemen dan Bukan Pavemen, Lampu Isyarat dan Penyenggaraan Jambatan. Ini termasuk komitmen sebanyak RM37.0 juta di bawah Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya. Komitmen ini melibatkan 109 bilangan kerja yang merangkumi 76 di bawah Program Blackspot dan 33 di bawah Program Membina Lintasan Pejalan Kaki Searas Lampu Isyarat (LPKSI).
Sehingga kini, sebanyak 77 Perakuan Siap Kerja (CPC) telah berjaya dikeluarkan dan sebanyak 1,402 bilangan Perakuan Siap Kerja (CPC) dengan nilai RM1.069
billion telah dilaksanakan di bawah Program Penyenggaraan secara Arahan Kerja (AK) merangkumi 790 bilangan Program Berkala Pavemen (BP), 518 bilangan Program Berkala Bukan Pavemen (BBP) serta 94 bilangan Program Penyenggaraan Kecil Jambatan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat
Lantikan Pegawai Penguasa bagi Projek Benta Link yang menghubungkan Pakej 4 Jalan Central Spine Road (CSR) dengan Jalan Persekutuan FT08 di bawah KKR dan dua (2) projek penggantian jambatan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) iaitu Projek Membina Jambatan Baharu Di Kampung Bemban, Jelebu, Negeri Sembilan dan Projek Membina Jambatan Stulang Daeng, Pulau Gadong, Melaka Tengah, Melaka.
Program seperti ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna Jalan Persekutuan, tetapi turut menyumbang kepada rangsangan ekonomi tempatan kerana melibatkan lebih 1,700 kontraktor secara langsung dan ratusan tenaga kerja secara tidak langsung.
KKR ingin mengingatkan pihak kontraktor agar sentiasa profesional, jujur dan berintegriti dalam mengekalkan kualiti kerja serta menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan. Pihak JKR pula diminta memastikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dipantau rapi agar dilaksanakan mengikut peraturan, piawaian dan kualiti yang berkuat kuasa.
KKR dan JKR Malaysia komited dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dan penyenggaraan jalan raya dilaksanakan dengan berkesan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh jaringan jalan raya yang berkualiti, mampan, lestari, selamat dan selesa.
- Log in to post comments