Portal Kontraktor Malaysia Dan Kad Laporan Kontraktor Baharu Memudahkan Urusan Penggiat Industri Pembinaan
Portal Kontraktor Malaysia Dan Kad Laporan Kontraktor Baharu Memudahkan Urusan Penggiat Industri Pembinaan
KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2022 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini telah memperkenalkan Portal Kontraktor Malaysia (MCP) dan Kad Laporan Kontraktor (CRC) yang merupakan sebuah portal berpusat pendaftaran kontraktor bagi memudahkan urusan kontraktor dengan agensi-agensi.
Majlis pelancaran diadakan di Pusat Konvensyen CIDB dan telah disempurnakan oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, mewakili Menteri Kanan Kerja Raya. Selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) yang bertemakan "Digitalisasi Sektor Pembinaan", CIDB telah berkerjasama dengan pelbagai agensi seperti Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk membangunkan MCP sebagai portal sehenti penggiat industri pembinaan untuk berurusan dan berinteraksi dengan pihak berkepentingan yang lain.
Inisiatif MCP dan CRC dibangunkan oleh CIDB dan antara agensi yang terlibat adalah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ) serta Pusat Pendaftaran Kontraktor Kerja, Bekalan dan Perkhidmatan Negeri Sabah (PUKONSA).
Portal MCP, yang juga merupakan usaha penambahbaikan oleh CIDB daripada Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (CIMS), dengan tujuan memperbaiki dan memperkemaskan proses pendaftaran di kalangan kontraktor dengan agensi kawal selia yang terlibat. Portal ini menyediakan Single Sign-In dan semakan status dan permohonan pendaftaran terkini bagi memudahkan pihak kontraktor berurusan dan berinteraksi dengan agensi kerajaan yang berdaftar di bawah MCP.
MCP juga menyediakan Kad Laporan Kontraktor (CRC) yang membolehkan agensi, pemilik projek, serta orang ramai memeriksa latar belakang sesebuah syarikat kontraktor yang didaftar dalam MCP melalui profil mereka. Pelbagai maklumat kontraktor yang terdapat dalam CRC ini termasuklah senarai projek yang diisytihar, senarai sijil yang diraih syarikat tersebut seperti SCORE, ISO, dan sijil Health and Safety dan juga tindakan disiplin atau undang-undang yang pernah dikenakan terhadap kontraktor terbabit.
Ini akan membantu mereka membuat keputusan untuk memilih kontraktor yang layak, mempunyai rekod prestasi yang baik dan berupaya menyiapkan sesuatu projek dengan sebaiknya akan dipilih untuk melengkapkan projek-projek pembinaan. MCP boleh dicapai melalui https://mcp.cidb.gov.my dan pengguna boleh menggunakan login CIMS sedia ada. Pengguna baru boleh mendaftar terus di MCP melalui pautan https://mcp.cidb.gov.my/MCP/Login.
- Log in to post comments