PERKUKUH TADBIR URUS DAN BENTENG INTEGRITI MENERUSI MESYUARAT JTK BIL. 3/2026 DAN KURSUS MPGIA
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkasakan agenda integriti, pemantapan tadbir urus, serta pencegahan rasuah menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) KKR Bilangan 3 Tahun 2026 dan Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Dahlia, KKR, hari ini.
Program dimulakan dengan Mesyuarat JTK Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim. Mesyuarat tersebut meneliti pelbagai agenda utama termasuk Pelaporan Status Pencapaian Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2026 bagi KKR dan agensi bawahnya, syor penambahbaikan serta khidmat nasihat SPRM, Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM), status kes tatatertib, dan Pelaporan Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD). Turut dibentangkan adalah kertas makluman mengenai Sambutan Hari Integriti KKR, Buku Kod Etika Tatakelakuan, Polisi Pemberi Maklumat, Polisi Antirasuah KKR, serta Bengkel Pemantapan Tatakelola.
Selaras dengan pindaan jadual, selesai sahaja mesyuarat berkenaan, program diteruskan dengan penganjuran Kursus MPGIA khusus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi KKR. Ceramah kursus bertajuk "Kesalahan Rasuah Dalam Sektor Awam Dan Inisiatif Untuk Pencegahan Rasuah" telah disampaikan oleh penceramah jemputan, PKPj Aini binti Awang Muda, yang merupakan Pegawai Kanan daripada Bahagian Pendidikan Masyarakat, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sesi pendedahan dan perkongsian kepakaran daripada pegawai SPRM ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mendalam serta memperkukuh langkah pencegahan rasuah secara menyeluruh dalam pentadbiran awam.
Pelaksanaan kedua-dua program ini membuktikan komitmen berterusan Kementerian Kerja Raya dalam memastikan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, dan bebas daripada sebarang amalan rasuah demi penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang.
- Log in to post comments