Perdana Menteri Rasmi R&R Lestari Pertama Di Lebuh Raya Malaysia
Seremban, 8 September 2024 - Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan majlis pembukaan semula dan perasmian Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan, sekaligus menjadikannya R&R Lestari yang pertama di lebuh raya di negara ini.
Terletak di KM274.6 di antara Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Nilai dan Bandar Ainsdale, projek pembangunan semula R&R Seremban (Arah Selatan) adalah komitmen PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam menyokong inisiatif kelestarian negara, selaras dengan Ekonomi Madani, Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) menjelang tahun 2030.
Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi ketika ditemui berkata, “Kewujudan Lebuhraya PLUS telah merancakkan transformasi ekonomi dengan pembukaan lebih 200 pembangunan bandar baharu dan 20 kawasan perindustrian di sepanjang jajarannya yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, menyediakan peluang perniagaan bernilai tinggi kepada ribuan syarikat tempatan, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat”.
“Selain itu, operasi Lebuhraya PLUS juga telah mencipta lebih daripada 15,000 peluang pekerjaan yang merangkumi warga PLUS, rakan-rakan niaga di kawasan rehat, kakitangan penyelenggaraan, dan kontraktor serta memberikan manfaat kepada ribuan usahawan tempatan yang terlibat dalam rantaian pembekalan,” tambah beliau lagi.
R&R PLUS bukan sahaja menawarkan pelbagai kemudahan demi keselesaan pengguna lebuh raya, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin dalam merubah serta meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi dengan melahirkan lebih 500 usahawan kecil dan sederhana yang disokong ribuan pembekal di kalangan peniaga komuniti setempat.
Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif menegaskan komitmen berterusan PLUS untuk menyokong usahawan Bumiputera menerusi kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB). Menerusi program-program latihan berstruktur yang akan dibangunkan, vendor Bumiputera kecil berpeluang untuk memanfaatkan platform ini bagi mendapatkan pengetahuan industri serta pengalaman bekerja bersama-sama syarikat-syarikat besar di Malaysia.
Selari dengan peredaran masa, R&R PLUS telah berevolusi daripada hanya menyediakan kemudahan asas kepada pengguna lebuh raya seperti tempat letak kenderaan, tandas, surau dan gerai makanan, kepada sebuah pusat kegiatan ekonomi penduduk setempat. Dengan bernaung di bawah satu bumbung, peniaga tempatan dari pelbagai latar belakang berpeluang untuk menceburi dan mengambil bahagian dalam pelbagai jenis perniagaan di R&R PLUS.
PLUS secara berterusan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf kawasan rehat bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik dan lebih selesa.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad ketika berucap pada majlis yang sama turut mengucapkan tahniah kepada PLUS, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia di atas kerjasama yang erat bagi menjayakan projek Pembangunan R&R Seremban (Arah Selatan) ini.
“Saya juga berharap dengan pembukaan R&R Seremban (Arah Selatan) ini akan menjadi satu dorongan kepada Syarikat Konsesi lain untuk menambah baik mutu perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan di lebuh raya bagi terus menyediakan persekitaran R&R yang kondusif dan selesa untuk dinikmati semua pengguna lebuh raya,” tambah beliau.
R&R Seremban (Arah Selatan) telah dibangunkan semula oleh PLUS bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat, dengan mengambil kira pembangunan infrastruktur yang lestari. Reka bentuk R&R yang berwajah baharu ini juga telah memperolehi pensijilan Green Building Index (GBI) Gold Rating dan juga telah dibina semula dengan menggunakan bahan-bahan binaan lestari.
“R&R Seremban (Arah Selatan) adalah R&R pertama yang dilengkapi dengan teknologi hijau seperti panel solar, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), sistem penuaian air hujan, mesin pengomposan sisa, tong kitar semula fabrik dan 3R, serta bekas pembungkusan biodegradasi. Malah, stesen hab pengecasan EV yang pertama di Malaysia (EV Charging Hub) akan dibina di R&R ini tidak lama lagi, hasil kerjasama PLUS dan ChargeEV. Fasa pertama yang dijangka siap pada tahun hadapan akan menyediakan 16 poin pengecasan pantas, lengkap dengan kemudahan F&B yang luas dan selesa,” tambah Dato’ Mohamad Nasir.
Selain menawarkan medan selera yang hampir 8 kali ganda lebih besar yang boleh menampung lebih 500 pengunjung, PLUS juga telah menambah keluasan surau supaya boleh menampung 150 jemaah lelaki dan 150 jemaah wanita. Malah, rekabentuk surau yang unik dan lestari ini menyediakan suasana yang selesa, nyaman dan tenang serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti ruang solat khusus bagi mereka yang berkerusi roda.
Sejak R&R Seremban (Arah Selatan) ini dibuka semula kepada pengguna secara berperingkat, purata jumlah pengunjung yang berhenti singgah di R&R Seremban ini telah meningkat daripada 25,000 orang setiap minggu kepada 50,000 orang pada ketika ini.
Majlis Perasmian R&R Seremban (Arah Selatan) hari ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Menteri Kerja Raya YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar Timbalan Menteri Kerja Raya YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan YB Dato’ Mohd Zafir Ibrahim, serta pegawai-pegawai kanan daripada agensi-agensi Kerajaan.
- Log in to post comments