Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Gantian 12 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan Di Sekolah Kebangsaan Sendayan, Negeri Sembilan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Gantian 12 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan Di Sekolah Kebangsaan Sendayan, Negeri Sembilan

Sendayan, Seremban, 14 Mei 2024 – YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Gantian 12 Bilik Darjah dan Lain-Lain Kemudahan bagi Sekolah Kebangsaan Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.

 

Projek ini telah dimulakan dalam bulan Disember 2020 dan siap sepenunhya pada 2 April 2024, 3 hari lebih awal berbanding dengan tarikh asal kontrak yang ditetapkan. Kos kontrak ini adalah sebanyak RM 8.173juta. Projek milik Kementerian Pendidikan Malaysia ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan Jurutera Daerah JKR Seremban sebagai Pegawai Penguasa Projek ini.

 

Antara skop projek ini adalah kerja-kerja meroboh bangunan sedia ada yang telah uzur yang mengandungi 4 bilik darjah dan membina bangunan gantian melibatkan 2 blok bangunan sekolah 4 tingkat yang mengandungi 12 bilik darjah dan kemudahan lain, kerja-kerja cerucuk, elektrik, perkhidmatan dalaman, kerja sekitar bangunan dan lain-lain.

 

Projek ini telah membantu dalam menangani isu kepadatan pelajar dan memberi manfaat secara langsung kepada hampir 500 orang pelajar di sekolah tersebut dari kalangan penduduk sekitar Felda Sendayan. Seperti mana pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 yang lalu, sektor pendidikan kekal antara komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dengan menyaksikan Kementerian Pendidikan diperuntukkan RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada tahun 2023.

 

Kementerian Kerja Raya ingin merakamkan penghargaan kepada kementerian pelanggan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah memberikan kepercayaan serta kerjasama sepenuhnya kepada KKR, JKR Negeri Sembilan dan JKR Daerah Seremban serta semua pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya lebih awal dari jadual.

 

KKR selaku peneraju infrastruktur negara amat komited dalam memberikan perkhidmatan cemerlang dalam sektor pembinaan negara termasuk menerusi penyediaan kemudahan pembelajaran yang terbaik di semua sekolah di negara ini.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12