Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan MRR2, Persimpangan Taman Melati dan Laluan Masuk Hub Terminal Bersepadu Gombak
Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan MRR2, Persimpangan Taman Melati dan Laluan Masuk Hub Terminal Bersepadu Gombak
GOMBAK, SELANGOR, 26 OGOS 2020 – Satu lagi projek yang memberi impak tinggi kepada rakyat telah berjaya disiapkan demi keselesaan pengguna jalan raya dan memberikan manfaat khususnya kepada pengguna di Terminal Bersepadu Gombak (GITT). Projek menaiktaraf jalan ini pastinya akan membantu mengurangkan masalah kesesakan trafik di kawasan Terminal Bersepadu Gombak semasa waktu puncak atau musim perayaan.
Penyerahan projek ini telah diadakan dalam satu majlis oleh YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara kepada Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof yang turut sudi merasmikannya.
Projek Menaiktaraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sepanjang 2.5 kilometer ini dibina dari Persimpangan Taman Melati ke Persimpangan Plaza Tol Gombak serta menghubungkan laluan masuk ke hub Terminal Bersepadu Gombak (GITT).
Projek ini dilaksanakan secara kontrak Reka dan Bina, di mana, peruntukan projek adalah melalui Dana Mudahcara Public Private Partnership (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.
Skop projek melibatkan naiktaraf jalan sedia ada daripada laluan tiga (3) lorong dua (2) hala kepada lima (5) lorong dua (2) hala dengan piawaian (JKR R5). Kos semasa projek adalah sebanyak RM106 juta dan penjimatan sebanyak RM763,200.00.
Projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini bermula pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos 2019. Pihak lain yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini ialah Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) dan pihak Kontraktor Terminal Bersepadu Gombak Sdn. Bhd. (TEGAS).
- Log in to post comments