PENGGULUNGAN YB MENTERI KERJA RAYA, MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS, 2026 DI DEWAN RAKYAT | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PENGGULUNGAN YB MENTERI KERJA RAYA, MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS, 2026 DI DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini membentangkan teks penggulungan Perbekalan Tambahan (2025) 2026 di peringkat Jawatankuasa, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat.

Dalam penggulungan tersebut, KKR merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat atas perbahasan serta pandangan yang telah dikemukakan berkaitan isu-isu di bawah bidang kuasa kementerian, khususnya melibatkan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Status Projek EKVE

Projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) merupakan projek penswastaan Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang dilaksanakan oleh EKVE Sdn. Bhd.. Perjanjian konsesi selama 50 tahun telah ditandatangani pada 13 Februari 2013 dan berkuat kuasa mulai 12 Februari 2015 sehingga tahun 2065.

Jajaran sepanjang 39.6 kilometer ini menghubungkan Sungai Long, Kajang ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Bandar Mahkota Cheras, merentasi Jalan Hulu Langat B52, Hutan Simpan Ampang dan berakhir di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) melalui Jalan Ukay Perdana.

Pada 27 Oktober 2023, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan Pinjaman Mudah Kerajaan (Government Support Loan – GSL) berjumlah RM135 juta kepada pihak konsesi sebagai langkah penyelesaian terhadap isu pelaksanaan yang menjejaskan kemajuan projek. Peruntukan ini bertujuan menampung sebahagian kos pembinaan bagi menyiapkan pakej kerja yang tertangguh.

Antara faktor kelewatan projek termasuk isu pengambilan balik tanah yang melibatkan proses mahkamah, perubahan reka bentuk susulan arahan pihak berkuasa tempatan, arahan henti kerja oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pematuhan EIA di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2012), serta impak pandemik COVID-19 terhadap tempoh dan kos pembinaan.

Pertimbangan Kerajaan untuk meluluskan GSL dibuat setelah mengambil kira kedudukan kewangan syarikat konsesi, kemajuan fizikal projek yang telah melebihi 90% pada ketika itu, serta keperluan mengelakkan projek ini menjadi ‘gajah putih’. Tambahan kos pembinaan juga tidak melibatkan peningkatan kadar tol atau lanjutan tempoh konsesi seperti yang termaktub dalam perjanjian asal.

Seksyen 1 EKVE sepanjang 16.8 kilometer dari Sungai Long ke Ampang telah dirasmikan dan dibuka kepada pengguna oleh YAB Perdana Menteri pada 30 Ogos 2025. Sehingga 25 Januari 2026, kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 91%, dan pihak konsesi menyasarkan penyiapan Seksyen 2 (Ampang ke Ukay Perdana) pada 31 Disember 2026.

Isu Pemasangan Lampu Jalan di SKVE

Berhubung isu pemasangan lampu jalan, pelaksanaannya adalah berdasarkan garis panduan Guideline for Malaysia Toll Expressway System – Design Standards (Mechanical & Electrical Services) (LLM/GP/T10-08).

Bagi Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), pemasangan lampu jalan dilaksanakan di lokasi-lokasi yang ditetapkan seperti persimpangan bertingkat, terowong, plaza tol, kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan hentian sebelah. Laluan antara Persimpangan UNITEN hingga Plaza Tol Ayer Hitam yang merupakan laluan utama ke Putrajaya juga telah dilengkapi lampu jalan.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi turut melaksanakan Audit Keselamatan Jalan Raya (Peringkat 5) secara berkala. Analisis data kemalangan bagi tahun 2023 hingga 2025 mendapati tiada lokasi ‘blackspot’ direkodkan di laluan antara Teluk Panglima Garang ke Pulau Indah yang kini beroperasi dengan konfigurasi dua lorong dua hala.

Cadangan pemasangan lampu jalan di keseluruhan jajaran SKVE akan melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kerana ia di luar skop asal Perjanjian Konsesi. Walau bagaimanapun, LLM dan pihak konsesi akan terus memantau keadaan semasa serta mengambil langkah mitigasi yang bersesuaian bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya, termasuk penunggang motosikal.

KKR komited memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara bertanggungjawab, berhemah dari segi kewangan serta mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0