Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKR 2020 Dirai Dalam Norma Baharu | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKR 2020 Dirai Dalam Norma Baharu

KUALA LUMPUR, 5 APRIL 2021 - Seramai 55 orang daripada 58 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi tahun 2020 telah diraikan pada satu majlis di Dewan Tanjung Kompleks Kerja Raya. Penyampaian anugerah ini disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya.

Jumlah keseluruhan penerima untuk tahun 2020 adalah seramai 859 orang dengan 58 penerima adalah daripada KKR, 690 daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), 83 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan 28 daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pada majlis ini, penganugerahan hanya difokuskan kepada penerima daripada KKR sahaja demi mematuhi SOP ke arah mengekang penularan wabak COVID-19. Ia juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia – PRESTASI Bilangan 1 Tahun 2021 bahawa penyampaian anugerah penerima APC 2020 diadakan secara berasingan mengikut agensi.

Tema majlis anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKR tahun ini ialah “Pendigitalan Organisasi Melonjak Kecemerlangan Prestasi”. Tema ini dipilih bertepatan dengan perkembangan dunia digital dan Revolusi Perindustrian 4.0 atau singkatannya IR4.0. Ia juga selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Pendigitalan Perkhidmatan Awam atau e-Government yang memberi fokus kepada pendigitalan penyampaian perkhidmatan.

Menteri Kanan Kerja Raya dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada penerima APC dan menyeru para penerima untuk terus mengekalkan rentak kecemerlangan dan meneruskan momentum prestasi yang positif ke tahun-tahun mendatang.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6