PEMERKASAAN KONTRAKTOR KECIL G1-G4 TERUS DIPERTINGKATKAN MELALUI PROGRAM MYJALAN
KUALA KANGSAR, PERAK - Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan agenda pemerkasaan kontraktor kecil tempatan terutama G1-G4 melalui inisiatif Cabutan Undi Kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Perak bagi tahun 2026 selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, mampan, selamat dan selesa demi kesejahteraan negara dan rakyat.
Bagi tahun 2026, KKR telah memperuntukkan RM300 juta di bawah Program Pemerkasan Kontraktor G1 hingga G4 dengan meningkatkan penglibatan mereka dalam kerja-kerja penyenggaraan jalan raya berkala dan bukan berkala bagi Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia. Program yang telah diluluskan pada 21 Januari 2026 melibatkan 758 kerja iaitu 81 kerja Berkala Pavemen dan 677 kerja Berkala Bukan Pavemen, meningkat sebanyak 112 kerja berbanding tahun 2025, sekali gus melebarkan peluang penyertaan kontraktor kecil khususnya kelas G1 dan G2 dalam projek pembangunan negara.
Di Negeri Perak, kerja-kerja utama penyenggaraan jalan persekutuaN dilaksanakan melalui syarikat konsesi Belati Wangsa Sdn Bhd. 89 kerja bernilai RM32.95 juta ditawarkan secara cabutan undi merangkumi 12 Kerja Berkala Pavemen yang bernilai RM13.7 juta dan 77 Kerja Berkala Bukan Pavemen bernilai RM19.25 juta. Pecahannya merangkumi 47 kerja bagi kontraktor G1, 24 bagi G2, 12 bagi G3dan 6 bagi G4.
Seramai 1,731 kontraktor layak yang memenuhi kriteria termasuk telahberdaftar dengan CIDB, memiliki Sijil Taraf Bumiputera (STB) dan mempunyai rekod prestasi yang baik telah menyertai proses ini di mana proses cabutan undi yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Cabutan Undi (JCU) dibuat secara telus dan dipancarkan secara langsung dalam talian disaksikan oleh semua kontraktor.
Skop kerja melibatkan penyenggaraan pavemen seperti mill & pave, Cold In-Place Recycling (CIPR), overlay dan pembinaan semula jalan. Manakala kerja bukan pavemen pula merangkumi peningkatan aspek keselamatan dan estetika jalan raya termasuk garisan jalan, papan tanda, roadkerb dan sistem perparitan. Semua kerja-kerja yang bakal diberikan kepada kontraktor melalui cabutan undi akan dipantau rapi oleh Syarikat Konsesi Belati Wangsa dan JKR Negeri Perak. Penilaian prestasi kontraktor akan menjadi asas peluang kerja masa hadapan, selaras dengan penegasan KKR bahawa tiada kompromi terhadap kualiti, kos, tempoh siap dan keselamatan yang menepati aspirasi Program MYJalan
- Log in to post comments