Pembukaan Persimpangan Bertingkat Sri Aman Bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo
SELANGAU, SIBU, 14 NOVEMBER 2022 – Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang lebih 786 kilometer (km) merentasi Pulau Borneo hampir siap sepenuhnya. Hari ini satu lagi seksyen di bawah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu Seksyen Selangau sepanjang 27 km dibuka secara rasmi kepada orang ramai.
Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg. Turut hadir pada majlis ini juga ialah Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.
Kos keseluruhan bagi pembinaan seksyen Selangau ini adalah RM588 juta melibatkan pembinaan jalan sepanjang 27 km dan satu persimpangan bertingkat. Seksyen Selangau ini mula dibina pada 1 November 2016 dan akan dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya pada hari ini, 14 November 2022.
Projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan ini mampu membantu menyuraikan trafik dari Sibu ke Bintulu untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat. Selain itu, ianya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya contohnya Sibu, Selangau, Mukah dan Balingian dengan akses jalan raya yang lebih baik.
Pelaksanaan projek ini juga merupakan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ia juga dilakukan bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.
- Log in to post comments