PEMBUKAAN LORONG TAMBAHAN JALAN PERSEKUTUAN FT51 SEREMBAN - KUALA PILAH | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PEMBUKAAN LORONG TAMBAHAN JALAN PERSEKUTUAN FT51 SEREMBAN - KUALA PILAH

SEREMBAN, 21 MAC 2025  – Menteri Kerja Raya  telah meninjau kerja-kerja persiapan akhir dan seterusnya merasmikan pembukaan lorong tambahan Jalan Persekutuan FT51 Seremban - Kuala Pilah di Seksyen 8.5 yang telah dinaik taraf daripada jalan tunggal 2 lorong 2 hala kepada jalan berkembar 4 lorong 2 hala dengan Piawaian R5.

Pembukaan secara rasmi sebelum perayaan Adidilfitri ini merupakan komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi teknikalnya, Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyediakan infrastruktur jalan raya untuk rakyat Malaysia Madani yang berkualiti, selesa dan selamat. Dijangka jalur jalan raya ini akan memberi manfaat kepada lebih dari 30 ribu pengguna harian serta penduduk kawasan sekitar terutama yang berulang-alik dari Seremban ke Kuala Pilah.

Kerja menaik taraf FT51 ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan ‘bottle neck’ sepanjang 1 kilometer(km) di Persimpangan Taman Nusa Intan. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya disebabkan laluan ini merupakan lokasi blackspot dengan jumlah kemalangan yang tinggi disamping untuk mengatasi masalah banjir kilat melalui sistem perparitan dan pembentungan yang lebih efektif.

Projek ini dimulakan pada 20 Disember 2021 dengan kaedah pelaksanaan secara konvensional dalaman dengan harga kontrak semasa bernilai RM18.167 juta. Skop projek ini termasuklah menaik taraf Persimpangan Taman Nusa Intan dan Persimpangan Bukit Putus Lama, kerja perparitan dan pembentungan, kerja penjajaran semula Sungai Linggi, kerja pemasangan perabot jalan serta kerja - kerja elektrik (lampu jalan dan lampu isyarat).

Sebagai satu usaha dalam meningkatkan keselamatan jalan raya, projek ini turut memperkenalkan Zon Menunggu Motorsikal di Persimpangan Taman Nusa Intan dan Persimpangan Jalan Bukit Putus Lama. Zon ini merupakan yang pertama diperkenalkan di daerah Seremban dan dirancang khusus bagi meningkatkan keselamatan penunggang motosikal. Dengan adanya ruang khas ini, penunggang motosikal kini mempunyai tempat khusus untuk berhenti di hadapan kenderaan lain ketika menunggu lampu isyarat hijau, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan kelancaran lalu lintas di persimpangan utama.

Terdahulu, YB Menteri bersama Pegawai KKR dan pasukan teknikal JKR Malaysia telah meninjau projek membina jalan baru dari Nilai - Labu - Bandar Enstek bagi Projek Malaysia Vision Valley (MVV) di Daerah Seremban, Negeri Sembilan. Jalan yang dibina ini merupakan jalan baru 4 lorong 2 hala sepanjang 16.3km dengan Piawaian R5. Projek ini dijadualkan siap pada Julai 2026 di mana YB Menteri telah meminta pasukan projek dan kontraktor untuk mempercepatkan kerja-kerja supaya projek ini disiapkan lebih awal.

YB Menteri juga telah ke Seksyen 5.0 Jalan FT97 Paroi – Senawang melihat sendiri kerja – kerja pembaikan cerun yang disebabkan kejadian runtuhan cerun yang berlaku akibat hujan lebat yang menghakis permukaan cerun. Kerja pembaikan cerun telah dikeluarkan secara Arahan Kerja (AK) jangka masa panjang untuk dilaksanakan oleh kontraktor Pintas Utama Sdn. Bhd. (PUSB). Kaedah pembaikan yang dilaksanakansoil nailing dan guniting serta kerja- kerja menaik taraf sistem perparitan (drainage) dilokasi runtuhan cerun dengan kos bernilai RM424 ribu. Kerja pembaikan telah dimulakan pada 3 Februari 2025 dan dijadualkan siap pada Jun 20258. 

Kementerian Kerja Raya komited dengan misi untuk meningkatkan keterhubungan, aksesibiliti dan mobiliti rakyat melalui rangkaian Jalan Persekutuan yang berkualiti, selamat dan selesa. Fokus berterusan terhadap infrastruktur jalanraya dan projek berpaksikan rakyat ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan selari dengan aspirasi Program MyJalan dan nilai teras Malaysia Madani.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0