PEMBINAAN PUSAT SIMULASI BENCANA PERTAMA MALAYSIA KINI 99% SIAP | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PEMBINAAN PUSAT SIMULASI BENCANA PERTAMA MALAYSIA KINI 99% SIAP

PULAU MERANTI, 16 Disember 2024 - YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya meninjau status kemajuan Projek Pembinaan Tapak Simulasi Bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Markas SMART, Pulau Meranti, Selangor. 

Projek ini dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dengan tarikh pemilikan tapak adalah pada 27 Oktober 2021 dan kini mencapai 99% kemajuan projek serta dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025. Apabila siap kelak, pusat ini bakal menjadi Pusat Simulasi Bencana yang pertama di Malaysia dan yang kedua di rantau Asean selepas Singapura. 

Pusat Latihan Simulasi Bencana ini bertujuan untuk melatih dan memantapkan kepakaran pegawai dan anggota SMART disamping membuat simulasi bencana supaya Malaysia sentiasa dalam keadaan bersedia sewaktu berhadapan dengan pelbagai situasi bencana dan kecemasan.  

Projek ini merupakan milik Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri.  

Pusat Simulasi ini akan memiliki keupayaan membuat simulasi pelbagai senario bencana yang akan menjadi asas kepada latihan yang komprehensif dan berdasarkan situasi sebenar bencana (near-reality).  

Fasiliti dan teknologi yang akan melengkapkan pusat ini dijangka akan menyokong semua keperluan bagi memudahkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group) iaitu satu badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkenaan operasi bencana rentas sempadan.  

Modul latihan simulasi yang disediakan dalam projek ini adalah :  

  • Modul Kereta Kabel (modul menyelamat kemalangan kereta kabel) 

  • Modul Hazmat (modul menyelamat di kawasan yang terdapat bahan-bahan berbahaya) 

  • Modul Menyelamat Kemalangan Keretapi Bawah Tanah 

  • Modul Menyelamat Bangunan Runtuhan Penuh 

  •  Modul Menyelamat Bangunan Runtuhan Pelbagai 

  • Modul Menyelamat Bangunan Separa Runtuh 

  • Modul Menyelamat Bangunan Condong, dan  

  • Menara 'Abseiling'.  

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap momentum kerja yang telah dicapai dikekalkan atau dipertingkatkan agar projek ini dapat disiapkan tepat atau lebih awal dari jadual yang ditetapkan disamping kekal menjamin mutu, kos dan rekod keselamatan di tapak pembinaan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0