Pembinaan Fasa Kedua IKMAS Menggandakan Kapasiti dan Bilangan Kemasukan Pelajar
Kuching, 9 November 2024 – Hari ini telah berlangsung sesi penyerahan Projek Pembinaan Fasa Kedua Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS) kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku pemilik projek. YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib Bin Ismail Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM serta Pengurusan Tertinggi dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah bersama-sama dalam majlis penyerahan ini. Hasil penyerahan projek ini akan membolehkan pihak IKMAS meningkatkan kapasiti dan keupayaan menambah pengambilan penuntut bagi mengikuti kursus yang ditawarkan daripada 290 orang pada masa kini kepada sehingga 550 orang penuntut.
Melalui pembinaan Fasa Kedua ini, IKMAS mengukuhkan visi dan misi penubuhannya iaitu meluaskan peluang kepada lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneruskan pendidikan di peringkat Diploma Pengajian Islam dan Tahfiz serta di peringkat Sijil bagi bidang kemahiran vokasional (TVET). Pembinaan fasiliti tambahan ini tentunya akan merangsang ekosistem pembelanjaran yang lebih berdaya-maju, kondusif dan selesa.
Pembinaan IKMAS Fasa 2 dilaksanakan di atas kawasan seluas 2.4 ekar di Telaga Air, Kuching Sarawak. Antara fasiliti tambahan yang dibina ialah sebuah Blok Akademik dua tingkat, dua buah Blok Asrama Siswi empat tingkat yang mampu menampung 250 orang pelajar, Masjid berkapasiti 700 jemaah, Bangunan Mekanikal dan Elektrikal; dan Menara Tangki Air berkapasiti 40,000 gelen. Turut termasuk dalam skop ialah kerja mengubahsuai bangunan surau lama kepada perpustakaan, pembinaan jalan raya dengan kemudahan 118 parkir kereta, 233 parkir motosikal, parkir bas, serta pembinaan gelanggang sukan.
Projek bernilai RM34.289 juta ini telah dilaksanakan secara Konvensional Perunding. Teknologi Industrialised Builidng System (IBS) turut diaplikasikan dalam projek ini untuk komponen struktur seperti Autoclaved Aerated Concrete, precast beam dan precast slab.
Tarikh Milik Tapak projek ini ialah 23 Mac 2021 di mana projek ini telah disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi pembinaan projek ini telah dikeluarkan pada 9 Ogos 2024 oleh Penguasa Projek, Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang dipertanggungjawabkan bagi mengawasi dan menyelia projek tersebut.
Kementerian Kerja Raya (KKR) ingin merakamkan penghargaan kepada JAKIM atas kepercayaan serta kerjasama kepada pihak JKR Malaysia, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya. Segala pengalaman dan pengajaran (experience and lesson learned) amat berguna untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek - projek sebegini di masa hadapan ke arah pengurusan projek yang terbaik dari konteks kualiti, kos dan masa.
KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) di mana pihak JKR akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.
- Log in to post comments