PEMBINAAN BANGUNAN TAMBAHAN KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN SIAP SPENUHNYA, TAMPUNG 1,000 PELAJAR BAHARU | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PEMBINAAN BANGUNAN TAMBAHAN KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN SIAP SPENUHNYA, TAMPUNG 1,000 PELAJAR BAHARU

PASIR PUTEH - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan di Pasir Puteh kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ini dibina di atas tanah seluas 80.49 ekar, bermula pada 1 September 2022 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 9 Ogos 2026 dengan pengeluaran Sijil Perakuan Kerja (CPC).

Projek bernilai RM147.96 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Rolling Plan 3 ini bertujuan menampung pertambahan seramai 1,000 pelajar baharu berbanding kapasiti asal 2,000 pelajar SPM, terutamanya dari Pantai Timur. Projek ini diselia oleh Pasukan Projek Khas 1 (PPK 1) JKR secara Reka dan Bina, serta dilaksanakan oleh Kontraktor Cakna Enterprise Sdn. Bhd. menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) ber-skor lebih 70% dan Building Information Modelling (BIM) bagi kecekapan serta kawalan kualiti.

Skop projek merangkumi pelbagai kemudahan utama seperti Bangunan Akademik dan Pentadbiran, Penginapan Pelajar dan Pensyarah, Rumah Pengarah, Timbalan Pengarah dan Ketua Jabatan, Pusat Sehenti Pelajar, Kafeteria, Bangunan/Dewan Serbaguna, Dataran Ilmu serta pelbagai bangunan sokongan. Di samping itu, kemudahan sukan bertaraf antarabangsa turut disediakan termasuk trek olahraga lapan lorong (World Athletics Class 2), padang hoki (FIH Class 2), padang bola sepak/ragbi dan gelanggang pelbagai guna.

Projek ini mencatatkan pencapaian "Tiga dalam Satu" menerusi penyerahan Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Bina dan Penyata Akaun Muktamad (SOFA). Selain itu, ia turut meraih pelbagai penambahbaikan nilai seperti penarafan SHASSIC 4-bintang, Zero Lost Time Injuries (LTI), Zero Major Defects, penyiapan Zero VO (tiada pertambahan kos), penyediaan Manual Operasi & Penyelenggaraan (O&M) serta pembentukan Coffee Table Book.

Pelaksanaan projek ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan awam yang moden, selamat dan berkualiti. Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR kekal komited untuk terus menyempurnakan projek pembangunan secara profesional dan berintegriti demi memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4