PEMBANGUNAN SK GAYANG TUARAN KOMITMEN KERAJAAN MADANI MENINGKATKAN AKSES PENDIDIKAN BERKUALITI BAGI GENERASI BARU SABAH
TUARAN – Ini adalah lawatan rasmi keempat YB Datuk Seri Dr. Haji
Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ke Negeri Sabah bagi tahun 2025
dalam rangka meninjau pengurusan dan pelaksanaan infrastruktur dalam pembinaan
terutama dari segi aspek pengurusan projek, sumber manusia, kewangan dan bahan binaan
agar ianya sentiasa ‘on-track’ dari segi jadual, kualiti dan kos.
Pagi tadi YB Datuk Seri meninjau dan memeriksa tahap kemajuan pelaksanaan projek pembinaan semula sekolah daif iaitu Projek Pembinaan SK Gayang di Tuaran, Sabah.
Projek yang bernilai RM34 juta ini dilaksanakan secara kaedah reka dan bina oleh
Zirbad Resources Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama dengan pemantauan rapi oleh
Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana.
SK Gayang yang yang menjalankan dua sesi persekolahan terletak di Kg. Gayang, menampung seramai 716 murid dan 42 guru. Keadaan bangunan sedia ada yang uzur
menuntut pembangunan baharu yang lebih moden, serba lengkap, selamat dan selesa
yang diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik dan ko-
kurikular pelajar.
Dengan pembinaan blok pentadbiran, blok akademik, prasekolah, kuarters guru, kantin serta pelbagai kemudahan lain, SK Gayang bakal menjadi institusi pendidikan rendah yang moden setaraf dengan sekolah-sekolah di bandar.
Projek ini yang bermula pada 3 Januari 2024 dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026. Setelah siap kelak, SK Gayang akan mampu menampung sehingga 540 murid dan 30 guru (satu sesi persekolahan), sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Selari dengan aspirasi KKR di tahun 2025, menjadi komitmen kementerian bahawa
setiap projek pembinaan infrastruktur rakyat termasuk institusi pendidikan hendaklah
disiapkan lebih awal dari jadual atau Ahead of Time (AOT) dengan mengekalkan rekod sifar
kemalangan di tapak pembinaan.
Komitmen ini mencerminkan nilai Malaysia MADANI, khususnya ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan, bagi memastikan projek infrastruktur rakyat dapat dinikmati sesegera mungkin, terutamanya dalam menyediakan akses pendidikan yang lebih baik untuk generasi muda di Sabah.
- Log in to post comments