PEMANTAUAN BERTERUSAN PROJEK FIZIKAL PEMBANGUNAN KEMENTERIAN PELANGGAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PEMANTAUAN BERTERUSAN PROJEK FIZIKAL PEMBANGUNAN KEMENTERIAN PELANGGAN

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2025 - YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya telah mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Sakit dan Lewat Jadual Kementerian Pelanggan Bilangan 1 Tahun 2025 selaras dengan Halatuju Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025 Mensifarkan Projek Sakit dan memastikan kelancaran pengurusan projek-projek infrastruktur rakyat tanpa EOT (Extension of Time). 

Bagi tahun 2025, KKR melalui agensi teknikalnya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memantau sebanyak 1,975 projek fizikal pembinaan dengan jumlah keseluruhan kos projek bernilai RM75.98 bilion.  Daripada 1,975 projek fizikal pembinaan yang sedang aktif itu, 1,146 projek di peringkat Pra Pembinaan manakala 829 projek di peringkat Pembinaan. Selain itu, terdapat juga 412 projek dengan nilai kerja berjumlah RM1.528 bilion dalam pelbagai kategori termasuk Penyenggaraan, Pemulihan, Ubahsuai dan Naik taraf (PPUN) yang turut dilaksana oleh JKR.  

Sebagai rekod, pada tahun 2024 sebanyak 254 bilangan projek fizikal pembinaan telah berjaya disiapkan oleh JKR untuk digunapakai oleh kementerian pelanggan dengan kos projek bernilai RM5.50 bilion yang merangkumi projek dari Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe9) hingga RMKe12-Rolling Plan 4.Daripada 829 projek fizikal pembinaan yang sedang dalam pembinaan, sebanyak 801 projek dibawah seliaan JKR Malaysia dan sehingga Januari 2025, sebanyak 29 projek daripada 801 projek tersebut dikategorikan sebagai projek sakit dengan peratusan sebanyak 3.62%. Manakala selebih 28 projek Sekolah Daif adalah dibawah seliaan JKR Sabah. Tiga faktor telah dikenalpasti sebagai penyebab kepada kelewatan projek-projek  tersebut. Faktor utama ialah keupayaan kontraktor (77%) diikuti dengan faktor pelbagai (20%) dan faktor di pihak pelanggan (3%). Untuk faktor pihak kontraktor, kelewatanberpunca dari kelemahan pengurusan dalaman, masalah aliran kewangan dan kelewatan pembekalan bahan Sistem Binaan Berindustri (IBS).  

Faktor pelbagai adalah seperti kelemahan pemantauan dan kerjasama antara Pegawai penguasa Projek dan kontraktor, isu teknikal, isu pengambilan balik tanah, masalah geologi tapak bina, masalah cuaca serta bencana alam. Faktor pelanggan pula adalah seperti penambahan dan perubahan skop atas kehendak pelanggan.KKR dan JKR akan terus memperbaiki metodologi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek (project management metodologi) dan sedaya upaya akan  mengaplikasikan inovasi dan digitalisasi teknologi dalam memantau dan mengatasi halangan yang timbul di tapak binaan. JKR akan menerapkan Alert and Early Warning Mechanism agar projek bermasalah dapat dikenalpasti secepat mungkin sebelum ianya menjadi projek sakit. Kejayaan projek pembinaan dan penyenggaraan memerlukan persefahaman dan kerjasama erat antara Pegawai Penguasa Projek, JKR, Perunding, Kontraktor dan agensi Kerajaan yang terlibat. Pengurusan yang cekap dalam aspek perancangan dan pengurusan projek, pemantauan kualiti kerja, pengurusan masa dan kos, kepekaanterhadap keselamatan di tapak pembinaan adalah kunci untuk memastikan pembinaan dilaksanakan dengan baik dalam tempoh kontrak yang ditetapkan yang akhirnya meningkatkan sistem penyampaian Kementerian dan kualiti kesejahteraan rakyat MADANI. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0