PELUNCURAN FERI BAHARU HASIL PEMBINAAN JKR UNTUK SESI PENGUJIAN DAN LATIHAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PELUNCURAN FERI BAHARU HASIL PEMBINAAN JKR UNTUK SESI PENGUJIAN DAN LATIHAN

LUMUT, 23 JANUARI 2025 - Pembangunan infrastruktur negara menyaksikan satu lagi pencapaian besar dengan peluncuran feri baharu jenis RoRo buatan tempatan yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya bertempat di Limbungan Jicore Sdn. Bhd., Lumut, Perak. 

Pembinaan feri baharu ini mengambil masa selama 12 bulan bermula 1 Mac 2024 hingga 28 Februari 2025. Ini merupakan detik bersejarah kerana peluncuran feri baharu merupakan pertama kali diturunkan ke laut untuk menjalani proses pengujian (sea trial), latihan, dan seterusnya penghantaran ke Jeti JKR Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan. 

Jangkaan tempoh pengujian ini ialah dari 24 Januari 2025 hingga 7 Februari 2025, manakala tempoh Program Latihan Operasi dan Penyenggaran Feri ialah mulai 10 hingga 16 Februari 2025, diikuti dengan penghantaran feri RoRo Ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan dijadualkan dari 17 hingga 22 Februari 2025. Feri ini akan meneruskan tempoh penyesuaian dari 23 hingga 28 Februari 2025 sebelum dicadangkan untuk dirasmikan pada bulan Mac 2025. 

Projek feri ini adalah hasil kerjasama Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Syarikat Sumber Samudra Sdn. Bhd. Feri ini bakal menggantikan feri sedia ada iaitu Feri Sri Tanjong yang sering mengalami kerosakan disebabkan faktor usia yang telah menjangkau 32 tahun. 

Feri baharu sepanjang 33 meter ini bukan sahaja direka untuk memenuhi keperluan semasa, malah turut dilengkapi dengan teknologi terkini yang mesra alam. Perkara ini selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk mengurangkan jejak karbon dan menyokong matlamat pembangunan lestari. Feri baharu RoRo ini mampu menampung hingga 58 penumpang dan enam kru feri, lapan kenderaan ringan atau sebuah bas 44 penumpang atau empat buah lori 5 tan atau dua buah lori 10 tan. 

Projek ini adalah kejayaan hasil kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta. Kerjasama ini membuktikan bahawa industri tempatan mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi selaras dengan piawaian antarabangsa. Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya komited terus memainkan peranan penting dalam memastikan feri inidiselenggara dengan baik bagi menjamin penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat dan boleh dioperasikan dalam jangka masa yang panjang sepertimana feri sedia ada sebelum ini. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0
0
0
0