PELANCARAN PLATFORM MYDIGITAL-KONTRAKTOR DAN PROGRAM JELAJAH REVOLUSI PEMBINAAN CR4.0 2025 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PELANCARAN PLATFORM MYDIGITAL-KONTRAKTOR DAN PROGRAM JELAJAH REVOLUSI PEMBINAAN CR4.0 2025

PONTIAN, 3 MEI 2025 - Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) terus komited memacu transformasi digital dalam industri pembinaan negara menerusi pelancaran platform myDigital Kontraktor dan Program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Benut, Pontian, Johor hari ini.

Program sebesar ini adalah julung-julung kalinya diadakan termasuk inilah pertama kali myDigital Kontraktor dilancarkan. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menekankan kepentingan inisiatif ini dalam memperkasakan kontraktor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kontraktor Bumiputera untuk kekal berdaya saing dalam era pendigitalan.

myDigital Kontraktor merupakan platform digital yang menawarkan pelbagai fungsi yang dapat membantu kontraktor mendigitalkan proses kerja syarikat supaya lebih cepat dan mantap seperti laman web syarikat, sistem e-tender, e-profiling, dan sistem e-Invoice yang mematuhi format Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Seramai 130 kontraktor G1-G7 dari seramai lebih 201 Kontraktor Pembinaan di Pontian telah hadir dalam program hari ini dengan pecahan kod bidang seperti Kerja-kerja bangunan, kejuruteraan awam dan kelengkapan mekanikal yang meliputi penyenggaraan dan pembaikan.

Inisiatif ini mencerminkan prinsip daya cipta dan kemampanan, teras utama Malaysia MADANI, dengan mengangkat inovasi dan adaptasi teknologi sebagai pemacu daya saing ke arah globalisasi.

KKR melalui CIDB telah merintis inisiatif pendigitalan dalam industri pembinaan melalui IBS dan Building Information Modelling(BIM). Malah CIDB telah menubuhkan makmal BIM yang lengkap di mana kontraktor bumipitera boleh menyewa dan mendapat bimbingan dari CIDB sebagai langkah adaptasi BIM tanpa pelaburan awal yang besar dan membebankan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0