Pecah Tanah Projek Jalan Luar Bandar Kapit Bakal Merancakkan Sosioekonomi Rakyat Madani Sekitar Kanowit, Ngemah, Song Dan Kapit | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Pecah Tanah Projek Jalan Luar Bandar Kapit Bakal Merancakkan Sosioekonomi Rakyat Madani Sekitar Kanowit, Ngemah, Song Dan Kapit

Kapit, Sarawak, 03 Mei 2024 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi merangkap Ahli Parlimen P.215 Kapit telah menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Jalan Nanga Kabah/SK Beguang/Sg. Song, Song, Kapit, Sarawak yang merupakan sebuah projek Persekutuan milik Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) pada 3hb Mei 2024.

Projek jalan kategori Jalan Luar Bandar ini merupakan fasa satu (1) daripada tiga (3) fasa keseluruhan yang menghubungkan Nanga Kabah ke Nanga Melipis. Projek Fasa 1 sepanjang 16.375 kilometer ini bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk tempatan, meningkatkan sosioekonomi, mewujudkan jaringan jalan raya kepada dua buah sekolah serta menjadi akses darat penting ke Pekan Kanowit dan bandar Sibu yang kemudiannya akan menghubungkan ke Lebuh Raya Pan Borneo.

Projek ini juga akan melibatkan pembinaan tiga (3) buah jambatan iaitu Jambatan Sungai Kabah (72 meter), Sungai Beguang (62 meter) dan Sungai Temiang (62 meter) dengan piawai geometri jalan JKR R3. Agensi pelaksana bagi projek jalan fasa 1 ini ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.

Kementerian Kerja Raya (KKR) turut mempunyai perancangan susulan pembinaan projek jalan ini iaitu pembinaan sebuah jambatan dua hala merentasi Batang Rejang yang menghubungkan jalan Nanga Menuan/ Nanga Setepus ke jalan Song- Kapit sepanjang kira-kira 900 meter dan 600 meter jalan tuju Baharu berdekatan dengan Bandar Kapit dan Pekan Song.

Projek ini sedang dimohon di bawah Projek/Program Pembangunan Baharu Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4, RMK12) tahun 2024. Ia bakal menyediakan mod perhubungan jambatan dan jalan luar bandar ke Bandar Kapit, Pekan Song dan Pekan Kanowit yang selamat dan selesa berbanding melalui jalan air buat masa kini.

Pembangunan infrastruktur masa hadapan ini berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat Madani, kerana pada waktu kini hanya 23.6% penempatan di Bahagian Kapit dihubungkan dengan jalan awam manakala 76.4% masih menggunakan jalan balak, jalan sawit dan pengangkutan air untuk ke Bandar Kapit.

Pelaksanaan projek ini merupakan satu lagi bukti komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ini selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara berterusan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15