Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tapak Pembinaan Tinjau Pematuhan SOP
KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2021 - Hari ini telah berlangsung operasi penguatkuasaan bersepadu CIDB Wilayah Persekutuan KL dan Jabatan Tenaga Kerja KL yang diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.
Operasi di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur ini adalah operasi rutin bagi pemeriksaan pematuhan SOP tapak pembinaan bagi mengekang penularan COVID-19.
Sebanyak 4,981 pemeriksaan tapak pembinaan telah dijalankan di seluruh negara oleh pihak CIDB dari 1 Jun sehingga 12 Julai bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara.
Daripada jumlah berkenaan sebanyak 959 (19%) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 4,022 (81%) tidak beroperasi. Daripada 959 tapak yang beroperasi, didapati 749 (78%) tapak mematuhi SOP, manakala 210 tapak pembinaan (22%) tidak mematuhi SOP dan telah diarah tutup serta merta. Bagaimanapun, 50 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
- Log in to post comments