Pelancaran Projek Sarawak – Sabah Link Road Hadiah Kepada Penduduk Pedalaman
Pelancaran Projek Sarawak – Sabah Link Road Hadiah Kepada Penduduk Pedalaman
LAWAS, SARAWAK, 5 NOVEMBER 2019 - Masyarakat di Sarawak dan Sabah akan menikmati kemudahan, keselesaan dan keselamatan pemanduan apabila satu projek mega infrastruktur jalan raya yang menghubungkan Lawas ke Kampung Pa’ Berunut, Sarawak bakal dibina. Jajaran ini merupakan sebahagian daripada projek Sarawak – Sabah Link Road (SSLR) yang merupakan jalan raya berturap pertama menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei. Ini sudah pastinya memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan sempadan seperti sekarang, dimana sebanyak lapan pos kawalan Imigresen perlu dilalui.
Keseluruhan jajaran projek SSLR dianggarkan sepanjang 425 kilometer(km) iaitu 250km jalan utama dan 175km jalan susur atau spur road dengan kos anggaran berjumlah RM5.2 bilion. Jajaran SSLR ini juga bakal membentuk satu jaringan perhubungan antarabangsa iaitu Trans Borneo antara Sarawak, Sabah dan Kalimantan, Indonesia.
Pelaksanaan projek SSLR adalah secara berfasa. Pakej 1 sepanjang 90km akan bermula dari Lawas melalui Long Sukang, seterusnya ke Long Lopeng dan berakhir di Kampung Pa’ Berunut, Sarawak. Manakala Pakej 2 pula sepanjang 160km bermula dari Kampung Pa’ Berunut sehingga ke Long Lama. Pelaksanaan Pakej 2 adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan Kerajaan.
Pelancaran projek SSLR ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian. Projek ini kini dalam peringkat kerja awalan dan pembinaan dijangka bermula pada suku pertama tahun 2020. Pembinaan dijangka mengambil masa selama 48 bulan dan tarikh projek dijangka siap adalah pada tahun 2024.
Pembinaan jajaran dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut ini amat penting dalam meluaskan jaringan jalan raya ke kawasan pedalaman yang membolehkan kawasan pedalaman terbabit memiliki perhubungan, seterusnya menjana ekonomi yang baharu menerusi eko-pelancongan dan agro pelancongan di kawasan itu. Selain daripada itu, projek ini juga akan meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan raya yang pada masa ini terpaksa menggunakan jalan balak untuk tujuan perhubungan ke sesuatu kawasan.
Skop projek SSLR Pakej 1 adalah membina jalan baharu berasaskan jalan tunggal 2 hala (2 lane single carriageway) mengikut piawaian JKR R3. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) pada 9 Ogos 2019 telah meluluskan peruntukan kos projek berjumlah RM1.2 bilion untuk projek ini dan akan dilaksanakan secara Reka dan Bina.
- Log in to post comments