Operasi Mengejut Tapak Pembinaan – 1 Patuh Sop, 1 Diberi Amaran, 1 Ditutup | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Operasi Mengejut Tapak Pembinaan – 1 Patuh Sop, 1 Diberi Amaran, 1 Ditutup

Operasi Mengejut Tapak Pembinaan – 1 Patuh Sop, 1 Diberi Amaran, 1 Ditutup

KUALA LUMPUR, 5 FEBRUARI 2021 – Satu pemeriksaan mengejut ke tiga tapak pembinaan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur telah dilaksanakan hari ini bagi memantau pematuhan SOP dan juga pengurusan penempatan pekerja.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof bersama-sama Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan, Zainora Zainal dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Bin Che Awang telah mengadakan lawatan pemeriksaan ke tapak bina bagi meninjau tempat penginapan pekerja dan pematuhan SOP di dalam tempoh pelaksanaan PKP. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan pematuhan SOP sepenuhnya di tapak bina.

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengingatkan penggiat industri pembinaan yang mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepenuhnya. Bagi memastikan pematuhan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) diarahkan untuk mempergiatkan lagi aktiviti pemeriksaan tapak pembinaan dan akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana tapak bina yang didapati tidak mematuhi SOP.

Pemeriksaan tersebut mendapati hanya satu di antara tiga tapak pembinaan yang diperiksa didapati mematuhi SOP sepenuhnya. Selain itu, syarikat kontraktor utama iaitu Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd yang mempunyai 140 pekerja di tapak projek tersebut turut menyediakan penempatan pekerja yang memenuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan telah menerima kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pematuhan SOP dan penempatan pekerja yang disediakan di projek ini wajar dijadikan contoh untuk projek pembinaan lain seluruh negara.

Pasukan pemeriksa juga telah pergi ke tapak pembinaan kedua yang juga merupakan pembinaan pangsapuri mewah di Jalan U-Thant. Tapak pembinaan ini didapati mematuhi SOP tapak pembinaan tetapi tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di dalam Akta 446 untuk penempatan pekerja yang disediakan dan tidak mendapat kelulusan DBKL untuk pembinaan penempatan tersebut. Kontraktor terbabit telah diberi amaran untuk memperbaiki keadaan penempatan pekerja tersebut dan mendapatkan kelulusan DBKL dalam masa 14 hari. Sekiranya gagal berbuat demikian, tapak tersebut akan diarahkan tutup.

Tapak Pembinaan ketiga yang merupakan projek pangsapuri servis di Kepong pula didapati tidak mematuhi SOP sepenuhnya. Pemeriksaan mendapati hampir 30 peratus daripada pekerja di tapak pembinaan tersebut tidak memakai pelitup muka, dan pengambilan suhu tidak direkodkan. Pemeriksaan oleh JTK juga mendapati penempatan pekerja di tapak pembinaan tersebut tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. CIDB telah mengeluarkan arahan tutup tapak kepada tapak pembinaan tersebut.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, ramai yang tidak mengambil berat pematuhan SOP. Akibatnya, kes positif COVID-19 meningkat secara mendadak, sehingga mencecah lebih 5,000 kes sehari. Sektor pembinaan telah mencatat kes kedua terbanyak selepas sektor pembuatan. Statistik terkini menunjukkan terdapat 97 kluster pembinaan yang melibatkan sebanyak 13,663 kes positif. Punca kes positif COVID-19 naik dengan begitu mendadak di tapak-tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan.

Hasil kajian KKM mendapati bahawa punca utama penularan wabak ini di kalangan pekerja asing adalah berpunca daripada;

I. Ketidakpatuhan SOP dan garis panduan ditetapkan

II. Penginapan pekerja yang sesak, berkelompok, kotor dan tidak memenuhi spesifikasi Akta 446

III. Pekerja-pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain didapati berperanan menyebarkan wabak tersebut dan membentuk kluster-kluster pembinaan.

Demi mengimbangi kehidupan dan kesihatan rakyat, kerajaan memutuskan untuk kembali kepada PKP buat kali kedua pada 13 Januari 2021. Namun kerajaan sedar, jika Sektor Pembinaan tidak beroperasi, ia akan mencatat kerugian sebanyak RM11.6 bilion setiap bulan dan menyebabkan ramai pihak akan terkesan kerana hilang pekerjaan serta sumber pendapatan.

Justeru itu, setiap dari kita adalah bertanggungjawab dalam memasikan pematuhan SOP bagi memastikan kesihatan dijaga. Ini bagi mengelakkan kerugian dan memastikan kelangsungan ekonomi dapat diteruskan.

KKR menerusi CIDB Malaysia akan mempergiatkan lagi pemeriksaan dari semasa ke semasa. CIDB Malaysia akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana tapak bina yang didapati tidak mematuhi SOP. Selain daripada arahan menutup tapak bina, kontraktor juga akan berdepan dengan tindakan disiplin yang boleh mengakibatkan pendaftaran kontraktor digantung atau dibatalkan. Tindakan ini sudah tentunya akan mengakibatkan kerugian kepada semua pihak yang terlibat di dalam sesuatu projek pembinaan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9