Pembinaan Jambatan Putra Membantu Menyurai Trafik Kuantan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Pembinaan Jambatan Putra Membantu Menyurai Trafik Kuantan

Pembinaan Jambatan Putra Membantu Menyurai Trafik Kuantan

KUANTAN, PAHANG, 21 FEBRUARI 2021 - Penyuraian trafik, khususnya untuk perjalanan dari Tanjung Lumpur ke Bandar Indera Mahkota kini lebih lancar apabila sebuah jambatan baharu sepanjang 451 meter siap dibina merentasi Sungai Kuantan. Struktur gah yang dinamakan Jambatan Putra ini disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Tuanku baginda turut berkenan bertitah Ucapan Perasmian Menara Kuantan 188 dan Perasmian Jambatan Putra secara maya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mencemar duli hadir ke Majlis Perasmian Menara Kuantan 188 dan Perasmian Jambatan Putra. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang turut sudi mencemar duli melawat jambatan tersebut diiringi Menteri Kanan Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Jambatan ini merupakan laluan alternatif bagi jambatan sedia ada dan dapat mengurangkan jumlah kapasiti bebanan trafik di jambatan sedia ada daripada LOS F kepada LOS D dan mewujudkan aliran trafik yang lebih efisyen di Bandar Kuantan.

Dengan terbinanya jambatan dan laluan baharu ini, ia akan dapat mengurangkan kesesakan trafik di Bandar Kuantan, memendekkan jarak sepanjang 9 kilometer dan menjimatkan masa perjalanan sekitar 15 hingga 30 minit dari arah Bandar Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya serta dari arah Gambang ke kawasan Tanjung Lumpur. Pembinaannya juga mampu memangkin ekonomi dan pembangunan serta peningkatan nilai hartanah di sepanjang Jalan Tanjung Lumpur (FT 183), Bandar Kuantan dan Bandar Indera Mahkota.

Projek ini dilaksanakan secara Reka dan Bina, melibatkan pembinaan jalan empat (4) lorong berkembar daripada Jalan Tanjung Lumpur, FT183 ke Persimpangan Jalan Tanah Putih / Jalan Pintasan Bukit Setongkol, FT002 sepanjang 2.5 kilometer merangkumi pembinaan jalan baharu sepanjang 1.524 kilometer dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 0.525 kilometer.

Kontrak pembinaan projek ini melibatkan kawasan tanah paya bakau, pembangunan sedia ada di Jalan Sri Kemunting 2 dan kawasan lapang di sekitar Bandar Kuantan. Projek yang bernilai RM161juta ini telah disiapkan pada 25 September 2020 oleh pihak Kontraktor Ahmad Zaki Resouces Berhad.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11