Penyerahan SST Untuk Projek Infra Rakyat Bernilai RM600 Juta
Penyerahan SST Untuk Projek Infra Rakyat Bernilai RM600 Juta
KUALA LUMPUR, 10 MAC 2021 – Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof hari ini menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) untuk pembangunan infrastruktur dan prasarana serba lengkap, moden dan kondusif, bagi empat projek bernilai RM600 juta dibawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Cawangan Kerja Pendidikan, Jabatan Kerja Raya Malaysia telah diberi kepercayaan selaku agensi pelaksana kepada projek – projek ini dan bertanggungjawab memastikan pihak kontraktor melaksanakan amanah rakyat dengan berkualiti dan menepati spesifikasi kontrak.
Projek pertama yang diserahkan SST adalah Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak (Reka dan Bina) yang diamanahkan kepada syarikat Perbena Emas Sdn. Bhd. Projek ini melibatkan pembinaan hospital pengajar dengan kapasiti 300 buah katil yang bakal membantu mengurangkan kesesakan di hospital Kerajaan sedia ada di negeri Sarawak. Tempoh pembinaan bagi keseluruhan projek adalah selama empat (4) tahun dengan nilai kontrak sebanyak RM485.99 juta.
Projek kedua adalah pembinaan Kompleks Sukan Kampus Gong Badak di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Kuala Terengganu. Syarikat Sincere Image Sdn. Bhd. telah terpilih melaksanakannya dengan kos kontrak berjumlah RM18.89 juta.
Projek ketiga adalah Penyiapan Baki Kerja Projek Universiti Malaysia Pahang (UMP) – Pembinaan Pusat Islam dan Pembangunan Insan serta Masjid. FNA Builders & Services Sdn. Bhd. diamanahkan untuk pelaksanaannya dengan harga kontrak sebanyak RM11.90 juta. Pembinaan masjid berkapasiti 3,500 jemaah bakal memberi manfaat kepada pelajar, kakitangan dan komuniti setempat.
Projek keempat adalah Pembinaan Blok Baharu Bagi Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta Lain-Lain Kemudahan Mesra OKU di SMK Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan. Jangka Prestasi Sdn. Bhd. adalah kontraktor yang diamanahkan dengan kos kontrak pembinaan ialah RM9.96 juta. Pembinaan bangunan baharu ini beserta lain-lain kemudahan mesra OKU bakal memberi manfaat kepada pelajar pendidikan khas yang semakin bertambah di sekolah tersebut.
Pada majlis yang sama, Menteri Kanan Kerja Raya turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah atas kejayaan mengeluarkan SST bagi 10 projek di bawah Program Sekolah Daif Sabah Tahun 2020. Meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, kerjasama yang erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Sabah berjaya mempercepatkan pengeluaran SST projek sekolah - sekolah daif yang bernilai RM74.80 juta ini secara efisen dan telus.
Menteri Kanan Kerja Raya turut mengingatkan kepada kontraktor yang berjaya untuk melaksanakan projek dengan cekap dan teratur bagi memastikan projek menepati kualiti dan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
- Log in to post comments