Kerjasama Agensi Dan Industri Kritikal Untuk Selesaikan Isu Penginapan Sementara Pekerja Pembinaan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Kerjasama Agensi Dan Industri Kritikal Untuk Selesaikan Isu Penginapan Sementara Pekerja Pembinaan

Kerjasama Agensi Dan Industri Kritikal Untuk Selesaikan Isu Penginapan Sementara Pekerja Pembinaan

KUALA LUMPUR, 11 MAC 2021 - Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) amat penting dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Mempengerusikan Sesi Libat Urus Penggiat Industri Pembinaan mengenai Penginapan Pekerja, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, berkata Pematuhan Akta 446 juga selaras dengan keperluan antarabangsa dalam menghormati hak asasi pekerja. Ini adalah sesi libat urus ke-5 dipengerusikan beliau sejak penularan pandemik COVID-19 melanda negara.

Tujuan Sesi Libat Urus industri pembinaan diadakan adalah bagi mengenal pasti cabaran yang dihadapi penggiat industri pembinaan dalam menyediakan kemudahan penginapan pekerja yang memenuhi peruntukan undang-undang. Selain itu, sesi tersebut juga membincangkan jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi.

Antara permintaan yang dikemukakan oleh penggiat industri melalui sesi libat urus tersebut adalah untuk semua negeri memberi kebenaran membina penginapan sementara pekerja di tapak bina, mempercepatkan proses kelulusan pembinaan penginapan, pemberian lesen tempat penginapan diberi sekali untuk seluruh jangka masa projek dan masa yang cukup diberikan untuk mereka menyediakan penempatan sementara untuk pekerja. Amaran yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk semua pekerja dipindahkan ke penempatan sementara yang baru, sukar untuk dilakukan dalam masa 14 hari.

Sesi libat urus secara atas talian yang berlangsung petang semalam itu, dihadiri oleh lebih 50 wakil kementerian, agensi dan peneraju industri pembinaan. Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Jamil Bin Rakon, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zainal Abidin Bin Abu Hasan, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Ir Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) Datuk Haji Noor-Ihsan Bin Haji Che Mat, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Haji Mahadi Che Ngah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung, Mohd Asri Abd Wahab.

Datuk Haji Noor-Ihsan Bin Haji Che Mat, Ketua Pengarah JKT telah membuat pembentangan berkenaan Prosedur Permohonan Permit Sementara Bangunan bagi Rumah Pekerja di dalam Tapak Bina. Menurut beliau, Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) membenarkan pendirian bangunan untuk tujuan menampung pekerja yang terlibat dengan kerja pembinaan di atas tanah (Tapak pembinaan) yang telah diberikan kelulusan Kebenaran Merancang. Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) pula menyatakan pembinaan rumah pekerja samada dalam tapak bina atau di luar tapak bina hendaklah mendapat kelulusan Permit Sementara daripada PBT. Oleh yang demikian Jabatan Kerajaan Tempatan telah pun mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kelulusan cadangan pembinaan rumah pekerja di atas tapak bina.

Tuan Mohd Asri Abd Wahab Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JTK pula telah membuat pembentangan mengenai Penguatkuasaan Akta 446 di Tapak Pembinaan. Dari operasi penguatkuasaan Akta 446 yang dilaksanakan JKT, 503 daripada 600 majikan yang menyediakan penginapan pekerja didapati tidak mematuhi Akta 446. Beliau menerangkan JTK telah menerima sebanyak 5729 permohonan untuk membina penginapan pekerja dari 1 September 2020 sehingga 7 Mac 2021. Dari jumlah tersebut 798 permohonan telah diterima daripada sektor pembinaan. JTK turut mengedarkan kepada penggiat industri, senarai nama 52 hotel bajet yang bersedia untuk menawarkan premis mereka sebagai penempatan sementara pekerja binaan.

Syarikat Kerjaya Prospek telah dijemput untuk membentangkan konsep sistem modular yang dibangunkan syarikat tersebut untuk membina penginapan sementara pekerja yang memenuhi peruntukkan Akta 446.

Seperti yang semua sedia maklum, keadaan penginapan pekerja yang sesak, tiada pengudaraan yang baik serta kotor dan tidak terjaga merupakan antara faktor utama penularan pandemik COVID-19 di tapak pembinaan. Setakat ini, terdapat 16,037 kes positif di tapak pembinaan, daripada 127 kluster. Jumlah kluster yang masih aktif adalah 52.

Beliau menekankan bahawa mengimbangi soal hidup dan kehidupan (Life and livelihood) bukan merupakan sesuatu yang mudah bagi pihak kerajaan. Semua pihak perlu memainkan peranan supaya aktiviti-aktiviti di dalam sektor pembinaan dapat diteruskan dan sektor ekonomi kembali rancak.

Justeru katanya, kerjasama erat diantara agensi penguatkuasaan dan peneraju industri pembinaan adalah amat kritikal dalam menyelesaikan isu penempatan pekerja di tapak pembinaan.

Sesi libat urus ini dilihat telah berjaya mendapatkan komitmen daripada agensi-agensi terlibat iaitu Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam mempercepatkan proses kelulusan pembinaan tempat penginapan pekerja.

Kementerian Kerja Raya melalui CIDB Malaysia komited dalam meneruskan libat urus dan mudah cara dengan semua agensi yang berkaitan industri pembinaan bagi memastikan isu penginapan pekerja di dalam sektor pembinaan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9