40,000 Personel Binaan Kuala Lumpur Terima Dos Vaksin Dibawah Program CIVac
40,000 Personel Binaan Kuala Lumpur Terima Dos Vaksin Dibawah Program CIVac
KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2021 – Selaras dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melaksanakan proses imunisasi pekerja sektor pembinaan dengan memperkenalkan Construction Industry Vaccination Programme (CIVac) menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Program CIVac merupakan program kerjasama kerajaan dan swasta bertujuan untuk mempercepatkan pengambilan vaksinasi di kalangan pekerja pembinaan bagi mengurangkan bilangan kluster Covid-19 dalam kelompok tempat kerja. YB Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Hj. Fadillah bin Haji Yusof dan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 hadir untuk meninjau proses Program CIVac yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Bagi memastikan semua pekerja di dalam sektor pembinaan mendapat imunisasi ke atas COVID-19, dianggarkan 2 juta dos vaksin diperlukan untuk pekerja binaan di seluruh negara bagi memastikan sektor pembinaan dapat kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Rekod terkini menunjukkan terdapat hampir 1 juta personnel binaan berdaftar dengan CIDB. Daripada jumlah tersebut, 70% adalah warga tempatan manakala 30% adalah warga asing. Jumlah ini meliputi mereka yang bertugas sebagai pengurus projek binaan, penyelia binaan, pekerja binaan dan juga personel pentadbiran.
Untuk peringkat permulaan, program CIVac ini telah diperuntukkan 80,000 vaksin untuk 40,000 personel binaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV). Jumlah ini adalah untuk personel binaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan seluruh Selangor.
Pusat Pemberian Vaksin untuk CIVac di negeri Selangor pula akan dibuka di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada 14 Julai. Pada 21 Jun lalu, CIDB telah membuka pendaftaran vaksin untuk semua personel binaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Semua slot telah habis ditempah dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Ini menunjukkan bahawa penggiat industri pembinaan amat prihatin dan bersedia untuk memastikan pekerja mereka diberi vaksin COVID-19.
Berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan ini, KKR telah memohon 200,000 dos vaksin lagi untuk 100,000 personel binaan daripada JKJAV untuk fasa kedua CIVac dan KKR juga akan menambah jumlah tersebut mengikut permintaan dan keperluan industri pembinaan. Di dalam fasa kedua, program ini akan dibawa ke Pulau Pinang, Johor dan Pahang, serta akan diperluaskan pula ke Sabah dan Sarawak mengikut permintaan.
Selain, pengambilan vaksin melalui program CIVac ini, KKR turut menggalakkan semua penggiat industri pembinaan untuk turut menggunakan apa sahaja saluran yang ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri untuk memastikan pekerja mereka diberi vaksin.
- Log in to post comments