Tiada Kenaikan Tol Bagi Pengguna Empat Lebuh Raya Melalui Cadangan Penstrukturan Semula Empat Syarikat Konsesi Lebuh Raya Di Sekitar Lembah Klang | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
277368282_344269684405913_1222224521710626813_n.jpg

Tiada Kenaikan Tol Bagi Pengguna Empat Lebuh Raya Melalui Cadangan Penstrukturan Semula Empat Syarikat Konsesi Lebuh Raya Di Sekitar Lembah Klang

Tiada Kenaikan Tol Bagi Pengguna Empat Lebuh Raya Melalui Cadangan Penstrukturan Semula Empat Syarikat Konsesi Lebuh Raya Di Sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 4 APRIL 2022- Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula yang melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang di mana tiada lagi kenaikan kadar tol bagi keempat-empat buah lebuh raya berkenaan dan pihak syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada Kerajaan sejurus setelah melunaskan hutang kewangannya. Penambahbaikan ini bakal memberikan suatu kelegaan kepada rakyat di samping memenuhi obligasi kepada pihak pelabur.

Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof memaklumkan perkara tersebut dalam satu Sidang Media Khas yang diadakan di Kompleks Kerja Raya. Syarikat-syarikat konsesi yang terlibat dalam proses penstrukturan semula ini adalah Syarikat Konsesi Lebuh Raya Kesas Sdn Bhd (KESAS), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), Syarikat Mengurus Air Banjir Dan Terowong Sdn Bhd (SMART).

Pengguna lebuh raya-lebuh raya berkenaan tidak perlu lagi khuatir akan kebarangkalian kenaikan kadar tol dan Kerajaan juga tidak perlu lagi menggunakan hasil kutipan cukai daripada rakyat untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

Sebuah syarikat swasta iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (“ALR”) yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Azlan Mohd Zainol di mana kesemua pemegang saham ALR ini tidak berasaskan keuntungan (“not-for-profit”), telahpun menawarkan untuk membeli 100% kesemua empat syarikat konsesi tersebut. Melalui kaedah penstrukturan semula ini, tiada lagi pemegang saham yang berorientasikan keuntungan yang akan melibatkan pulangan kepada pemegang saham dalam apa jua bentuk (seperti dividen). Pemegang-pemegang saham sedia ada pula yang antaranya terdiri daripada KWSP, KWAP, PNBM dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan daripada pelaburannya lebih awal daripada sepatutnya.

Kerajaan juga tidak boleh mengabaikan obligasinya di dalam Perjanjian Konsesi sedia ada kerana ia akan memberikan imej negatif kepada para pelabur yang akan menyebabkan kekurangan minat pelabur untuk melabur di Malaysia. Jika ini berlaku maka pelaburan di dalam negara akan berkurang dan akan menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran. Ini selaras dengan Dasar Penswastaan, di mana syarikat swasta masih lagi bertanggungjawab mengendalikan operasi dan menyenggara lebuh raya berkenaan.

Kerajaan juga telah memastikan bahawa ALR perlu menyerap kesemua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkaitan. Dengan itu, tiada isu pembuangan pekerja berhubung cadangan penstrukturan ini. Justeru, status bagi kesemua pekerja di bawah syarikat-syarikat konsesi ini adalah terjamin.

Dengan cadangan penstrukturan semula ini, tiada lagi kenaikan tol bagi lebuh raya berkenaan secara berkala di antara 5 ke 7 tahun mengikut perjanjian konsesi masing-masing dan ia melibatkan semua kelas kenderaan. Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi ini. Kerajaan juga tidak memberikan sebarang jaminan untuk pembiayaan ALR bagi cadangan penstrukturan semula ini dan Kerajaan juga tidak perlu menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi dengan penstrukturan semula ini.

Penjimatan bersih bagi pembayaran pampasan subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM4.3 bilion. Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi tujuan kesejahteraan rakyat yang perlu diutamakan antaranya kemudahan infrastruktur negara serta lain-lain kemudahan kepada rakyat. Amanat dan prinsip penstrukturan ALR ini adalah selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat. Usaha ALR untuk memuktamadkan pembelian syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ini adalah merupakan suatu inisiatif cadangan penstrukturan daripada pihak swasta yang memberikan situasi menang-menang serta menguntungkan Kerajaan dan rakyat jua.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
 276999558_344269694405912_4932583164233634485_n.jpg
 277301215_344269304405951_6848805289848611147_n.jpg
 277519924_344267624406119_3276942092952159731_n.jpg
277527225_344267441072804_968915413185744364_n.jpg
 277584056_344267647739450_3913208973712930263_n.jpg
 277588734_344267514406130_315761030431307927_n.jpg
 277589706_344267387739476_6649272170966592772_n.jpg
 277743588_344267297739485_4331347475322902615_n.jpg
 277795235_344267477739467_7212651668668629370_n.jpg