Jelajah FTRoadpedia Sarawak Hari Kedua
Jelajah FTRoadpedia Sarawak Hari Kedua
SIBU, 10 JUN 2022 - Jelajah FTRoadpedia Sarawak meneruskan misi hari kedua untuk meninjau perkembangan terkini pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan juga pemantauan penyenggaraan Jalan Persekutuan di negeri Sarawak. Perjalanan hari kedua dengan menaiki bas, merentasi daerah Sibu dan Bintulu diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Kerajaan Persekutuan optimis untuk memastikan keseluruhan Fasa Satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu dari Telok Melano ke Miri akan dibuka sepenuhnya pada suku tahun pertama 2023. Sehubungan itu, pemantauan kerja pembinaan dilaksanakan secara berterusan. Pada hari kedua, delegasi Jelajah FTRoadpedia di bawa meninjau perkembangan semasa Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Pakej Kerja berikut:
i. Pakej Kerja 7 – Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 75.97km. Dua (2) seksyen di pakej kerja 7 ini telah siap sepenuhnya iaitu Seksyen Jambatan Batang Rajang dan Seksyen Julau. Seksyen Sibu pula telah siap 80% dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022. Kos keseluruhan Pakej 7 adalah sebanyak RM1,621.34 juta.
ii. Pakej Kerja 8 – Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 63.67km. Pakej kerja 8 melibatkan kos sebanyak RM1,250.50 juta. Terdapat dua (2) seksyen iaitu Seksyen Selangau yang akan dibuka kepada pengguna jalan raya pada Julai 2022 dengan status siap 94% dan Seksyen Balingian yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2023 dengan status siap 72%.
iii. Pakej kerja 9 – Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Lapangan Terbang Bintulu sepanjang 64.53km yang melibatkan kos sebanyak RM1,236.10 juta. Dua (2) seksyen di bawah pakej kerja 9 ialah Seksyen Bintulu jangkaan siap sepenuhnya pada Disember 2022 dengan status siap 75% dan Seksyen Tatau, jangkaan siap sepenuhnya pada Mac 2023 dengan status siap 74%.
Panjang keseluruhan Jalan Persekutuan di negeri Sarawak adalah 794.106 km tidak termasuk laluan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM64.01 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan rutin, berkala pavemen, berkala bukan pavemen, pembaikan kecil jambatan, penyenggaraan bil dan lampu isyarat di Jalan Persekutuan.
Antara kerja penyenggaraan rutin yang dilaksanakan adalah memotong rumput, penampalan lubang dan kerja kecemasan kecil seperti laporan pokok tumbang. Pada kebiasaannya permasalahan tersebut akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam setelah aduan diterima. Sehingga kini, berdasarkan aduan dan pemantauan yang dilakukan konsesi, bermula Januari hingga Mei terdapat 2122 potholes telah ditampal.
Antara punca kerosakan utama di Jalan Persekutuan yang dikenalpasti adalah berpunca daripada jumlah kenderaan tinggi yang melalui jalan berkenaan selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.
Bagi memastikan kerja penyenggaraan dapat dilaksanakan secara optimum, KKR telah menyenaraikan program penyenggaraan turapan ini mengikut keutamaan, tahap kritikal dan keperluan mendesak untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan permohonan peruntukan yang lebih besar. Ini perlu bagi menampung perbelanjaan penyenggaraan jalan di Sarawak khususnya bagi memastikan keluarga Malaysia dapat menikmati infrastruktur yang lebih selesa.
- Log in to post comments