TURUN PADANG KSU KE LEBUHRAYA PAN BORNEO (LPB) SABAH
SABAH – Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim bersama YBhg. Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS), hari ini menegaskan bahawa tiada ruang untuk sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek infrastruktur negara. Turut serta, YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR.
Program Turun Padang (TURPA) pada 29 Mac 2026 telah diadakan bagi memantau Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah. Kepimpinan tertinggi KKR dan KKRS bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Sabah Electricity, Celcom Timur, Maxis serta Telekom Malaysia telah turun ke lapangan bagi menilai kemajuan fizikal projek, mengenal pasti isu pelaksanaan serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pihak JKR Sabah, kontraktor Pakej Kerja (WP) dan agensi berkaitan.
Program TURPA ini merangkumi tujuh (7) Pakej Kerja (WP), bermula dari WP28: Mile 32 – Moynod di Sandakan hingga ke WP22: Lahad Datu Bypass – Kg Sandau, melibatkan jajaran sepanjang hampir 137.18 kilometer. Pelbagai isu yang dikenal pasti sebagai punca kelewatan projek termasuk kekurangan mesin dan tenaga kerja, isu pengambilan balik tanah serta pengalihan utiliti.
YBhg. Dato’ Seri KSU telah memberikan arahan tegas kepada semua kontraktor pakej kerja agar memastikan pelaksanaan di tapak mematuhi jadual yang ditetapkan. Bilangan mesin dan tenaga kerja hendaklah selaras dengan keperluan kontrak. Kegagalan mematuhi terma kontrak akan dikenakan tindakan tegas, dan Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak sekiranya kontraktor gagal memenuhi ketetapan serta pelan pemulihan (recovery plan) yang telah dipersetujui.
Selain itu, agensi penyedia utiliti turut diingatkan supaya mempercepatkan kerja pengalihan utiliti, khususnya di koridor yang telah tersedia. Mekanisme penyelarasan perlu diperkukuh bagi memastikan kelewatan dapat diatasi segera tanpa menjadikan kekurangan tenaga kerja sebagai alasan.
JKR Sabah sebagai wakil Kerajaan telah diberi mandat untuk memastikan kerja di lapangan dilaksanakan dengan teliti dan berkesan. Pemeriksaan terhadap site diary juga perlu dilakukan secara konsisten kerana ia merupakan dokumen penting dalam pemantauan projek.
Penyelarasan yang efektif serta perbincangan berterusan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Semua agensi terlibat perlu berganding bahu bagi memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual dan kos yang diluluskan.
Kerajaan memandang serius pelaksanaan Projek LPB Sabah kerana ia merupakan pemangkin utama kepada pembangunan sosioekonomi, pertumbuhan sektor perindustrian dan peningkatan pelaburan, di samping memperkukuh ketersambungan antara bandar dan luar bandar di Sabah.
KKR komited memastikan rangkaian jalan raya yang selesa, selamat dan mampan menjadi realiti buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Negeri Di Bawah Bayu, selaras dengan aspirasi Kerajaan
- Log in to post comments