Board of Engineers Malaysia (BEM) Stakeholders Engagement Programme: Malaysia’s Engineering Institutions and Societies Meet BEM 2026 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Board of Engineers Malaysia (BEM) Stakeholders Engagement Programme: Malaysia’s Engineering Institutions and Societies Meet BEM 2026

KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) hari ini menghimpunkan pemain utama industri kejuruteraan negara menerusi penganjuran Board of Engineers Malaysia (BEM) Stakeholders Engagement Programme: Malaysia’s Engineering Institutions and Societies Meet BEM 2026 (BEM-MEIS 2026), sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dan memperkasa hala tuju pembangunan profesion kejuruteraan negara.

Program yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya itu menghimpunkan kira-kira 37 institusi, persatuan dan pertubuhan kejuruteraan daripada pelbagai disiplin bagi membincangkan cabaran semasa industri, isu kawal selia serta keperluan pembangunan bakat kejuruteraan selaras dengan aspirasi pembangunan negara.

Dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, program ini menegaskan kepentingan hubungan erat antara Kerajaan dan komuniti kejuruteraan dalam memastikan sektor kejuruteraan kekal kompetitif, berintegriti serta mampu menyokong agenda pembangunan infrastruktur dan ekonomi negara.

Dengan tema “Collaboration with Intent”, program ini memberi penekanan kepada kerjasama bersasar yang mampu menjana impak nyata kepada profesion, industri dan masyarakat, khususnya dalam aspek keselamatan awam, kualiti perkhidmatan serta kesiapsiagaan teknologi masa hadapan.

Melaui program ini juga LJM menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 kekal sebagai teras utama dalam melindungi kepentingan awam. Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 50 kes tatatertib telah diselesaikan, mencerminkan pendekatan tegas LJM dalam memastikan integriti dan akauntabiliti jurutera berdaftar terus dipelihara.

Cadangan pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) yang kini dalam pertimbangan Kerajaan dirangka dalam memperkukuh kuasa kawal selia LJM, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan dan perlindungan kepada masyarakat.

Dalam majlis yang sama, LJM telah melancarkan Pelan Strategik BEM 2026–2030 yang menggariskan hala tuju lima (5) tahun profesion kejuruteraan negara berpaksikan empat (4) teras utama, merangkumi pembangunan bakat, penguatkuasaan kawal selia, penjenamaan profesion dan transformasi teknologi.

Ketika ini, lebih daripada 290,000 profesional berdaftar dengan LJM, sekali gus menekankan keperluan berterusan terhadap program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi memastikan jurutera kekal kompeten dan relevan dengan keperluan industri semasa melalui webinar, seminar, taklimat dan lain-lain.

LJM turut memainkan peranan dalam mengakreditasi ratusan program kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan di seluruh negara bagi menjamin kualiti graduan serta kesinambungan bekalan tenaga profesional berkemahiran tinggi. Malaysia telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi ketiga accord utama pendidikan kejuruteraan iaituWashington Accord, Sydney Accord dan Dublin Accord.

Segala inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kejuruteraan negara, meningkatkan keyakinan awam serta memastikan profesion kejuruteraan terus menjadi tonggak utama pembangunan infrastruktur dan ekonomi Malaysia.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0