Projek Rangkaian Digital Lebuh Raya Membolehkan Malaysia Menjadi Hab Pusat Data Baharu Asia | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
289675577_403384461827768_7960342113262219907_n_0.jpg

Projek Rangkaian Digital Lebuh Raya Membolehkan Malaysia Menjadi Hab Pusat Data Baharu Asia

KUALA LUMPUR, 30 JUN 2022 - Majlis Perasmian Projek Rangkaian Digital Lebuhraya, telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof pada hari ini. Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan Projek Rangkaian Digital Lebuh Raya kepada syarikat MSA Resources Sdn. Bhd. (MSAR) untuk membina dan mengendalikan kabel gentian fiber optik di sepanjang lebuh raya di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Projek ini dibina di sepanjang lebuh raya di Semenanjung Malaysia secara berperingkat melalui tiga (3) fasa pembinaan. Rangkaian Fasa 1 adalah pemasangan kabel fiber optik dari Johor Bahru, Johor, ke Bukit Kayu Hitam, Perlis, yang dijangka siap pada Disember 2022. Rangkaian Fasa 2 akan melibatkan lebuh raya – lebuh raya di Lembah Klang. Manakala, rangkaian Fasa 3 akan menghubungkan negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

Infrastruktur telekomunikasi baharu dengan teknologi kependaman rendah (low latency) di sepanjang lebuh raya utama negara ini akan dapat memberikan capaian yang lancar untuk trafik jalur lebar di peringkat domestik dan juga antarabangsa. Malaysia akan menjadi hub data raya (big data) yang strategik antara Singapura, Malaysia dan Thailand di rantau ASEAN. Dengan adanya projek seumpama ini di Malaysia, pelabur-pelabur luar negara akan berminat untuk melabur dalam sektor perkhidmatan rangkaian digital yang dijangka akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara pasca pandemik.

Sebanyak 4,000 titik hubungan (Point of Interconnect - POI) akan menghubungkan bandar-bandar dan kawasan luar bandar dengan liputan jalur lebar yang tinggi bakal dinikmati oleh rakyat kelak. Ia juga menyumbang kepada peningkatan penyampaian perkhidmatan awam atas talian seperti kemudahan kesihatan awam, akses terbuka kepada pendidikan dan sistem pengangkutan lebih baik. Ketersediaan infrastruktur rangkaian digital, liputan rangkaian jalur lebar, akses terbuka dan penawaran harga yang kompetitif daripada kesemua penyedia telekomunikasi akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada masyarakat setempat, malah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perkhidmatan yang lain.

Perniagaan secara bersemuka akan beralih kepada perniagaan yang berplatformkan digital dan mengurangkan sempadan perniagaan antara satu tempat ke tempat yang lain. Secara tidak langsung, rakyat mempunyai pelbagai pilihan barangan dan perkhidmatan dengan harga yang optimum dan berkualiti tinggi.

Selain itu, kementerian dan jabatan seperti Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia akan diberikan akses dalam pembangunan secured networks dalam menjaga kedaulatan negara, pemantauan keselamatan negara dan penguatkuasaan undang-undang. Manakala, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi di bawah LLM turut mendapat manfaat dalam peningkatan perkhidmatan lebuh raya seperti penggunaan Radio Frequency Identification (RFID) ke atas semua pejabat tolnya dan kemudahan wi-fi di kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya bagi kegunaan pengguna-pengguna lebuh raya.

Penyediaan perkhidmatan 5G yang canggih dan berteknologi tinggi dengan harga yang berpatutan serta liputan jalur lebar di kawasan bandar dan luar bandar akan menjadikan Malaysia kekal berdaya saing dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Transformasi pendigitalan dan IR4.0 seperti penggunaan autonomous vehicles di jalan raya dan lebuh raya, Internet Benda (Internet of Things - IoT) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent - AI) dalam sistem maklumat pergerakan kenderaan di jalan raya serta lebuh raya dapat menyumbang kepada sistem pengangkutan yang lebih baik kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.

Pelaksanaan projek ini adalah bertepatan dan selaras dengan Dasar Pendigitalan Negara dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) serta Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). MSAR juga merupakan salah satu syarikat Bumiputera yang menyumbang kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera di bawah Unit Peneraju Bumiputera, JPM.

KKR akan sentiasa memberikan kerjasama dalam penyediaan infrastruktur rangkaian digital dan transformasi positif seperti projek ini pada masa hadapan. Turut diadakan hari ini, majlis menandatangani perjanjian persefahaman MSAR dengan pihak PLUS Berhad, Arus Restu Sdn. Bhd., MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Ciena Corporation, Starhub Ltd. dan GDS Inc. Pte. Ltd. yang disaksikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
288096653_403384558494425_730555489641405969_n.jpg
289778430_403384435161104_1583955195170107706_n.jpg
 289865014_403384758494405_825079834448853452_n.jpg
 289960255_403384785161069_2959082624068116945_n.jpg
290012720_403383811827833_9173492546075607193_n.jpg
 290331219_403384691827745_1104575806108187454_n.jpg
290345552_403384701827744_499326771244424642_n.jpg
290482716_403384848494396_3176830190313349244_n.jpg
 290765629_403384971827717_3820475288848726700_n.jpg
290011012_403384658494415_2109664689101204627_n.jpg