Naik Taraf Hospital Tawau Dijangka Siap Menjelang Hujung Tahun Ini
Naik Taraf Hospital Tawau Dijangka Siap Menjelang Hujung Tahun Ini
TAWAU, 20 APRIL 2022 - Kerajaan sasar Projek Naik Taraf Hospital Tawau dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk Keluarga Malaysia. Sasaran tersebut adalah berdasarkan perbincangan bersama kontraktor dan juga langkah-langkah pemantauan yang diambil Jabatan Kerja Raya Malaysia bagi memastikan kemajuan kerja mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Menurut YB Datuk Arthur Joseph Kurup selaku Timbalan Menteri Kerja Raya, JKR Malaysia memantau rapi pelan mitigasi dan kemajuan kerja kontraktor. Tegasnya lagi, prestasi pihak Kontraktor akan dinilai mengikut laporan kemajuan kerja mingguan yang perlu dihantar dan JKR tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan amaran kepada kontraktor sekiranya sasaran kerja didapati tidak dicapai.
Beliau juga mengatakan sehingga 31 Mac 2022, projek berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan kemajuan kerja sebanyak 70% di samping sasaran kemajuan kerja yang ditetapkan pada 4% setiap bulan perlu dicapai oleh kontraktor bagi memastikan baki kerja dapat disiapkan. Mengulas lanjut, beliau menjangka kemajuan kerja di tapak pembinaan akan terus meningkat dengan mengambil kira pembekalan peralatan bagi kerja-kerja mekanikal, elektrik dan ICT serta peralatan perubatan dijangka tiba bermula bulan ini.
Naik taraf Hospital Tawau telah dimulakan pada tahun 2017 dan dijadualkan siap pada suku kedua tahun 2020. Namun projek tersebut mengalami kelewatan akibat masalah struktur tanah di tapak projek dan kesan rantaian akibat Pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada kelewatan projek seperti impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan, kekurangan pekerja tempatan/asing serta kelewatan bahan binaan akibat penutupan kilang.
Bagi mengatasi isu kekurangan pekerja, pihak kontraktor telah memberikan komitmen untuk meningkatkan pengambilan pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Bangunan baharu hospital ini berkapasiti sebanyak 154 buah katil dan menjadikan jumlah keseluruhan termasuk di bangunan hospital lama sebanyak 555 buah katil.
Antara kemudahan lain termasuk 6 bilik bedah, 4 suite endoskopi, tambahan kapasiti 30 unit haemodialisis, bahagian kecemasan baru, klinik-klinik pakar, sebuah auditorium yang boleh memuatkan 250 orang serta pelbagai kemudahan lain termasuk sebuah helipad. Apabila siap kelak, projek ini akan menjadi hospital terbesar di Pantai Timur Sabah dan hospital rujukan bagi daerah-daerah berdekatan.
- Log in to post comments