n Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Jalan Raya Berimpak Tinggi Di Johor | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

n Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Jalan Raya Berimpak Tinggi Di Johor

JOHOR BAHRU – Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi dua projek jalan raya yang berimpak tinggi bagi negeri Johor. YBhg. Dato’ Sri Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya telah menyerahkan SST kepada dua syarikat kontraktor terpilih, setiap satu untuk projek milik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan satu lagi milik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

2. Projek pertama ialah Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) dari Persimpangan Bertingkat Perling hingga ke Susur Turun Lebuhraya Utara-Selatan, Pasir Gudang, Johor. Projek ini merangkumi kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 7.0 km bagi meningkatkan kapasiti dari empat lorong kepada enam lorong dua hala di koridor industri utama yang menghubungkan kawasan Tebrau, Taman Kobena dan Pelabuhan Pasir Gudang.

3. Projek bernilai RM174.53 juta yang telah dimulakan pada 3 Disember 2025 bila siap kelak pada 2 Disember 2028 dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku pada waktu puncak. Ianya sangat penting kerana juga akan memangkin kepada kelancaran rantaian bekalan industri serta kecekapan operasi logistik di kawasan tersebut.

4. Projek kedua pula ialah Projek Pembinaan Baharu dari Jalan Kampung Gembut ke Kampung Teluk Baharu, Sedili Besar, Kota Tinggi. Projek ini melibatkan pembinaan sebuah jalan baharu sepanjang 3.1 km serta sebuah jambatan sepanjang 320 meter merentasi Sungai Sedili Besar bagi menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat dan efisien kepada penduduk setempat.

5. Laluan yang digunakan penduduk setempat pada masa ini merupakan jalan ladang yang sempit lagi jauh yang menyukarkan penduduk terutamanya ketika hujan atau musim tengkujuh. Masa perjalanan dijangka dapat dikurangkan daripada 45 minit kepada hanya 15 minit bila projek jalan baharu ini siap kelak. Projek bernilai RM62.11 juta akan bermula pada 17 Disember 2025 dan dijadualkan siap pada 16 Disember 2028.

6. SST telah dikeluarkan kepada 54 buah projek jalan raya di seluruh negara sehingga 1 Disember 2025 dengan nilai keseluruhan RM2.96 bilion. Daripada jumlah ini, 18 projek adalah di bawah KKR melibatkan kos RM1.77 bilion, manakala 36 projek di bawah KKDW melibatkan kos RM1.19 bilion. Pencapaian ini merupakan bukti komit-men Kerajaan MADANI melaksanakan projek infra rakyat secara terancang dan teratur demi kemudahan serta kesejahteraan rakyat bandar dan luar bandar dan di masa yang sama merancakkan industri pembinaan negara.

7. Penyerahan SST di Johor ini mencerminkan usaha berterusan KKR dan KKDW dalam memperkukuh penyediaan infrastruktur awam negara, sekali gus meningkatkan mobiliti serta keterangkuman rakyat dan komuniti antara kawasan bandar dan luar bandar. Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, KKR kekal komited menyediakan rangkaian jalan raya yang berkualiti, mampan, lestari dan selamat demi kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0