MYJALAN PERKUKUH TADBIR URUS DATA JALAN, PACU TRANSFORMASI INFRASTRUKTUR PINTAR
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus mempergiatkan usaha mentransformasi sektor infrastruktur negara menerusi penganjuran Mesyuarat Rundingan Meja Bulat Data Jalan di bawah Program MyJalan 2026 yang dipengerusikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini hari ini.
Mesyuarat siri kedua sejak pelancaran Program MyJalan pada tahun 2023 ini menghimpunkan hampir 200 pegawai daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perbincangan memfokuskan kepada pemantapan tadbir urus data aset jalan serta penyelesaian isu fragmentasi dan pertindihan bidang kuasa rentas agensi.
Penganjuran mesyuarat berkenaan dilaksanakan bersempena pameran dan persidangan MY-ASEAN Roads & Traffic Tech Expo 2026 (MyARTTE 2026) anjuran Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM). Majlis Perasmian MyARTTE 2026 telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dengan kemuncak acara menyaksikan Sesi Serahan dan Terimaan Dokumen Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) antara KKR dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sesi penyerahan tersebut turut disaksikan oleh EXCO Infrastruktur Negeri Pulau Pinang, YB Zairil Khir Johari, dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan. Setakat ini, KKR telah memeterai kolaborasi strategik pengurusan data bersama tujuh buah negeri, iaitu Kedah, Terengganu, Sarawak, Sabah, Selangor, Kelantan, dan Pulau Pinang, selain bakal diperluaskan ke Perlis dan Melaka.
Selaras dengan pendekatan "No Wrong Door Policy" di bawah Program MyJalan, KKR kekal komited memperkasakan ekosistem jalan pintar berasaskan "Satu Data, Satu Standard, Satu Ekosistem Data Jalan Nasional" bagi memastikan infrastruktur negara sentiasa berdaya saing, mampan, dan berintegrasi tinggi selari dengan sasaran kedudukan ke-8 Pelaporan Daya Saing Dunia menjelang tahun 2033.
- Log in to post comments